Images
  • haze jerebu tampines
    Pemandangan di Tampines pada pagi 8 Feb 2019 (Gambar: Pembaca CNA)

Misteri bau asap di timur Singapura pagi tadi

SINGAPURA: Penduduk di bahagian timur Singapura melaporkan bau asap pada Jumaat pagi (8 Feb) antara 6.00 pagi hingga 10.00 pagi. Sebahagian mereka membuat andaian di media sosial sama ada bau tersebut diakibatkan jerebu dari negara lain.

Dalam satu kenyataan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan pihaknya menerima laporan berhubung bau itu.

"Siasatan kami sejauh ini tidak mengesan sebarang kebakaran setempat atau kilang-kilang yang mungkin menyebabkan bau itu," menurut NEA.

"Tiada punca jerebu rentas sempadan dikesan di rantu ini."

Bacaan PM2.5 setiap jam dari 4.00 pagi hingga 5.00 pagi dicatat antara 70 hingga 73µg/m3 iaitu pada Band II (Dipertingkat). Ia merosot kembali kepada Band I (Normal) dari 6.00 pagi hingga 7.00 pagi, dengan bacaan antara 19 to 26µg/m3. Dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi bacaan setiap jam PM2.5 berada pada lingkungan Band II (Dipertingkat), antara 46 dengan 62µg/m3.

Dalam tempoh masa yang sama, bacaan setiap jam PM2.5 di kawasan lain di Singapura dalam lingkungan Band I (Normal).

Pada 5.00 petang, bacaan 24 jam PSI dicatat pada 65, dalam lingkungan sederhana. Bacaan setiap jam PM2.5 di kawasan timur sejak 11.00 pagi berada pada lingkungan 8 hingga 18µg/m3, dalam Band I (Normal).

"Kami sedang memantau mutu udara, dan akan memberikan kemas kini bagi sebarang dapatan baru atau perubahan ketara bagi situasi mutu udara," menurut NEA.

Seorang pembaca Channel NewsAsia yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Soh terhidu bau apabila meninggalkan flatnya di Tampines pada sekitar 6.30 pagi.

"Saya dapat hidu jerebu dari dapur saya pada 6.30 pagi, bau seperti sesuatu terbakar," menurut seorang lagi penduduk Tampines, Muhammad Nur Hidayat.

"Setengah jam kemudian, suasana kelihatan lebih berjerebu sedikit semasa saya keluar rumah untuk menghantar anak saya ke pusat jagaan sebelum saya ke kerja." 

- CNA/TQ/tq

Top