Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Minggu Serumpun Budaya wadah generasi mapan kongsi pengalaman berharga dengan anak muda, kata Dr Maliki

Sering kali tampil formal di khalayak ramai, kali ini Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman membuat kemunculan dalam pesona yang cukup berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sering kali tampil formal di khalayak ramai, kali ini Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman membuat kemunculan dalam pesona yang cukup berbeza.

Dengan menggayakan persalinan tradisional diraja Melayu, lengkap bertanjak dan diselitkan keris dalam kain sampingnya yang tersimpul rapi, Dr Maliki membuka Minggu Serumpun Budaya malam semalam (4 Sep) sebagai watak Datuk Bendahara.

Ketika melakonkan watak itu, Dr Maliki menyampaikan serangkap pantun yang disulamkan dalam ucapan beliau, berbunyi:

Dalam serumpun bak serai
Dalam sehimpun tak lerai
Bersatu dari berbagai
Berpadu tiada bercerai

Minggu Serumpun Budaya, anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), membuka tirainya pada Jumaat dengan mengajak masyarakat setempat meneroka sebuah alam fantasi penuh dengan keajaiban melalui persembahan-persembahan seni dan budaya yang cukup hebat daripada bakat-bakat Melayu tanah air.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini (5 Sep), Dr Maliki menyifatkan acara itu sebagai sesuai untuk diikuti semua lapisan masyarakat.

Dari menonton pelbagai persembahan budaya menarik seperti gambus, hadrah, angklung serta kompang, Dr Maliki juga mengajak masyarakat untuk turut serta dalam kemeriahannya dengan membuat kuih tradisional, menonton wayang kulit, pop yeh yeh dan sebagainya.

"Saya pasti ia dapat memberi manfaat buat anak-anak kita sedang mereka berehat semasa cuti sekolah September ini," ujarnya.

Bahkan, tambah Dr Maliki, acara online itu juga satu wadah baik bagi perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara dua generasi berbeza.

"Saya begitu teruja apabila saya melihat yang 'veteran' mengongsi pengalaman-pengalaman mereka bersama yang muda di dalam sesi-sesi temu bual kerana pengetahuan sebegini sangatlah berharga," kata beliau.

Minggu Serumpun Budaya bakal diadakan setiap hari sehingga 12 September, dari pukul 8.30 malam hingga 9.15 malam melalui wadah YouTube dan Facebook rasmi Wisma Geylang Serai.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan