Images
  • japan f35
    Pesawat F-35 Jepun (Gambar: Kyodo via Reuters)

MINDEF pastikan F-35 selamat ekoran nahas jet Jepun

SINGAPURA: Kementerian pertahanan (MINDEF) menyatakan ia akan memastikan pesawat F-35 Joint Strike Fighters "selamat untuk dikendalikan" sebelum memperolehnya bagi tujuan pertahanan negara. Kenyataan tersebut dibuat ekoran nahas yang melibatkan F-35A Jepun pada Selasa (9 Apr).

Jet tersebut terhempas dalam Lautan Pasifik semasa misi latihan, menyebabkan Jepun untuk menggantung penerbangan semua jet F-35A buat sementara waktu.

F35A adalah satu daripada tiga variasi F-35 - yang menerima jolokan sebagai jet penggempur paling canggih di dunia.

Terdapat juga jenis F-35B yang direka bentuk untuk berlepas dari landasan pendek dan pendaratan vertikal, dan F-35C, yang direka untuk berlepas dari kapal pembawa pesawat.

Laporan-laporan membayangkan Singapura mempunyai kecenderungan untuk memperoleh model F-35B, yang boleh berlepas dari landasan lebih singkat dan mendarat seperti sebuah helikopter.

Menjawab pertanyaan TODAY tentang sama ada insiden pesawat Jepun akan menjejas keputusan MINDEF untuk membeli pesawat gempur yang baru, seorang jurucakap berkata: "MINDEF dan Angkatan Bersenjata Singapura akan memperoleh empat F-35 JSF pada peringkat awalnya, dengan pilihan untuk memperoleh lapan lagi jika kita memilih untuk meneruskan.

"Inimembolehkan kami melakukan penilaian menyeluruh ke atas kebolehan dan kesesuaian pesawat itu."

MINDEF menambah ia mempunyai proses penilaian yang ketat dan menyeluruh dan sedang memantau secara teliti siasatan oleh agensi-agensi asing yang relevan ke atas nahas tersebut.

"Kami akan memastikan F-35 JSF memenuhi keperluan kami dan adalah selamat untuk dikendali sebelum memperolehnya bagi tujuan pertahanan negara," menurut jurucakap itu.

Keputusan untuk membeli empat pesawat F-35 JSF diumumkan oleh Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen pada Mac.

Pada waktu itu Dr Ng berkata masanya "sesuai" untuk membuat pesanan bagi F-35 ekoran kejatuhan harga yang disebabkan pesanan ketara dari 10 negara lain termasuk Amerika Syarikat, UK, Jepun dan Korea Selatan.

Jet F-35A Jepun adalah yang pertama seumpamanya terhempas.

Pesawat itu hilang pada sekitar 7.30 malam pada Selasa lalu. Ia terputus hubungan 30 minit selepas berlepas dari Pangkalan Udara Misawa di wilayah Aomori bersama tiga pesawat lain, menurut agensi berita AFP.

Menteri Pertahanan Jepun Takeshia Iwaya berkata pesawat itu mengeluarkan isyarat "batalkan latihan" dan hilang dari radar.

Laporan berkaitan:

- TODAY/TQ/tq

Top