Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MINDEF awasi penggunaan alat pemantau kecergasan di kem tentera

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memantau penggunaan pemantau kecergasan di kem-kemnya di tengah-tengah keprihatinan bahawa maklumat daripada peranti sedemikian boleh mendedahkan maklumat tentera yang sensitif.

Anggaran Waktu Membaca:
MINDEF awasi penggunaan alat pemantau kecergasan di kem tentera

Laluan masuk ke ibu pejabat MINDEF di Hillview Avenue. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 02 Feb 2018 12:28PM Dikemas Kini : 02 Feb 2018 12:32PM

SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memantau penggunaan pemantau kecergasan di kem-kemnya di tengah-tengah keprihatinan bahawa maklumat daripada peranti sedemikian boleh mendedahkan maklumat tentera yang sensitif.

“Kami sedang memantau perkembangan ini dan jika perlu, akan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya bagi menjaga keselamatan operasi dan latihan,” demikian dinyatakan kementerian tersebut kepada Mediacorp.

“MINDEF/SAF (Angkatan Bersenjata Singapura) akur bahawa teknologi pemantau kecergasan berubah dengan peranti yang bertambah canggih,” menurut kenyataan itu lagi.

Ini selepas Strava, sebuah syarikat GPS, menerbitkan peta Global Heat yang menunjukkan secara terperinci, lokasi dan pergerakan penggunanya sepanjang tempoh dua tahun.

Peta tersebut dilaporkan menunjukkan lokasi dan reka bentuk beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat dan juga tapak-tapak yang mungkin sensitif.

Di Singapura, netizens menggunakan media sosial untuk memuat naik beberapa petikan gambar daripada skrin yang menunjukkan lokasi seperti ibu pejabat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Pangkalan Gombak, pusat-pusat latihan di Pulau Tekong dan Pangkalan Udara Paya lebar.

MINDEF menyatakan bahawa sebelum alat itu digunakan di kem-kem, ia sudahpun menjalankan penilaian risiko peranti-peranti sedemikian yang dijual di pasaran.

“Kesimpulannya adalah dalam konteks negara bandar seperti Singapura, maklumat yang diperolehi daripada peranti-peranti tersebut juga boleh didapatkan daripada sumber-sumber terbuka lantas tidak menimbulkan risiko keselamatan tambahan,” menurut kementerian itu.

Namun, MINDEF akur bahawa terdapat beberapa contoh, baik di dalam mahupun luar negara yang memerlukan sekatan bagi menjaga “keselamatan operasi dan maklumat”.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menyimpan peranti sedemikian di tempat-tempat yang ditetapkan sebelum menjalankan operasi ataupun latihan sensitif bagi menyekat penyebaran maklumat.

Walau bagaimanapun, MINDEF menyatakan bahawa alat pemantau kecergasan boleh digunakan di kem-kem kerana ia memberi maklum balas serta-merta kepada para pengguna lantas membolehkan mereka untuk lebih bertanggungjawab ke atas latihan mereka.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan