Images
  • mindef sports hub
    (Gambar: Ministry of Defence, Singapore (MINDEF)/ Facebook)

MINDEF anjur latihan terbesar, pertingkat keupayaan tangani ancaman

SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus meningkatkan keupayaannya untuk menangani ancaman.

Salah satu latihan terbesar bagi penggemblengan dan ujian kelengkapan diadakan sepanjang dua hari lalu.

Ia bertujuan menguji tahap kesediaan tentera bertindak pantas terhadap pelbagai ancaman keselamatan.

Seawal 8.00 pagi dan semboyan dibunyikan di kem tentera di mana askar-askar dikerahkan dan bersiap untuk pemeriksaan.

Mereka kemudian melatih langkah-langkah persiapan bagi sebarang operasi.

Dalam simulasi ini, sebuah kenderaan dengan bahan letupan melintas lalu pusat pemeriksaan dekat Hab Sukan.

Namun percubaan itu dilumpuhkan oleh askar-askar yang bergerak pantas menangkap pelakunya.

Dalam senario lain, pengebom nekad melepaskan tembakan di stadium.

Tetapi mereka dipintas dengan cepat dan ditembak oleh askar-askar ketika mereka cuba melarikan diri.

Keupayaan tentera bertindak cepat juga diuji apabila mereka berjaya mengesan dan menahan seorang penyerang yang membawa senjata.

"Agak jarang sekali sekarang ini kita melihat perang konvensional. Apa yang akan berlaku adalah serangan pengganas ke atas tempat-tempat awam atau disebut 'sasaran lemah'. Jadi pendapat saya, adalah agak penting kita bersiap untuk menghadapi ancaman serupa itu," kata CPL Gabriel Chua daripada Angkatan Bersenjata Singapura.

Sekitar 8,000 askar dan 700 kenderaan mengambil bahagian dalam latihan ini.  

- CNA/MM/aq

Top