Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mikhy Brochez hadir di mahkamah AS atas dakwaan menceroboh

Warga Amerika yang dituduh membocorkan data 14,200 penghidap HIV daripada daftar HIV Singapura, menghadirkan diri di mahkamah Kentucky pada Isnin (18 Feb) atas dakwaan menceroboh.

Anggaran Waktu Membaca:
Mikhy Brochez hadir di mahkamah AS atas dakwaan menceroboh

Mikhy Farrera Brochez bersama pegawai polis. (Gambar: Chris Kenning)

Diterbitkan : 19 Feb 2019 12:01PM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 12:06PM

WINCHESTER, KENTUCKY: Warga Amerika yang dituduh membocorkan data 14,200 penghidap HIV daripada daftar HIV Singapura, menghadirkan diri di mahkamah Kentucky pada Isnin (18 Feb) atas dakwaan menceroboh. Dia memberitahu hakim bahawa dia percaya Pemerintah Singapura mungkin campur tangan dalam kes tersebut.

Mikhy Farrera Brochez, 34 tahun, tiba tanpa ditemani peguam di Mahkamah Daerah Clark County di Winchester, Kentucky, tempat dia diberkas pada Disember dan dituduh atas jenayah menceroboh kerana enggan meninggalkan rumah ibunya.

Hakim Charles Hardin menangguhkan kes itu sehingga 4 Mac atas permintaan pegawai yang memberkasnya. Beliau mengambil perhatian bahawa Brochez mengaku tidak bersalah dan tuduhan-tuduhan tersebut tidak membawa hukuman penjara. Hakim memberitahu Brochez beliau tidak tahu apa-apa mengenai dakwaan Brochez berkenaan campur tangan.

Di luar mahkamah sebelum kes itu dibicarakan, Brochez tidak menjawab soalan seorang wartawan secara langsung sama ada dia membocorkan maklumat daripada daftar HIV Singapura. Bagaimanapun baru-baru ini dia memberitahu Vice News bahawa dia berkongsi maklumat itu dengan pemerintah dan sumber-sumber tersebut sudah pun terdedah.

Pada Isnin, Brochez mengulangi dakwaan bahawa dia hanya menghidap HIV hanya setelah "mereka membiarkan saya dirogol secara beramai-ramai di penjara". Pihak berkuasa Singapura menyatakan bahawa dakwaannya itu "terang-terangan palsu".

Apabila ditanya mengenai para individu yang terjejas akibat pembocoran itu, dia berkata: "Saya dihumban ke dalam penjara untuk sesuatu yang saya tidak lakukan. Saya dirogol beramai-ramai oleh pemerintah anda. Dan anda mahu bercakap kepada saya tentang perasaan orang lain? Anda ada terfikir apa yang saya lalui sekarang?"

Semasa sesi perbicaraan, Brochez yang berdiri menghadap hakim memberitahu hakim bahawa ibunya mahu menggugurkan kes tersebut, dan ia menimbulkan kesukaran dan mengganggu keupayaannya untuk bekerja. Hakim Hardin berkata bahawa ibunya tidak ada hak untuk menggugurkan kes tersebut dan kes diteruskan untuk dua minggu.

Ibunya, Cik Teresa King, tidak hadir di mahkamah dan tidak dapat dihubungi.

Brochez diberkas di rumah Cik King pada Disember kerana dia enggan meninggalkan rumah ibunya. Ini berlaku tiga bulan selepas polis memberi repons kepada panggilan serupa dan dia diberi amaran untuk tidak mendekati rumah ibunya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan