Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Micheal Garing jalani hukuman mati di Penjara Changi

Micheal Garing, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 30 tahun, yang didakwa atas tuduhan membunuh seorang pekerja binaan dalam serangan mengelar di Kallang pada 2010, menjalani hukuman mati di Penjara Changi hari ini (22 Mac), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Anggaran Waktu Membaca:
Micheal Garing jalani hukuman mati di Penjara Changi

Lelaki rakyat Malaysia, Micheal Garing. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 08:54PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 08:58PM

SINGAPURA: Micheal Garing, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 30 tahun, yang didakwa atas tuduhan membunuh seorang pekerja binaan dalam serangan mengelar di Kallang pada 2010, menjalani hukuman mati di Penjara Changi hari ini (22 Mac), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Micheal adalah salah seorang daripada empat individu yang terbabit dalam kes rompakan pada Mei 2010, menyebabkan beberapa mangsa cedera parah serta membunuh Shanmuganathan Dillidurai, seorang rakyat India.

Micheal didakwa dan dijatuhi hukuman mati pada 25 April 2015. Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada Februari 2017, dengan Hakim-Hakim Rayuan berkata "kekejaman" yang ditunjuk oleh Micheal, yang menyerang Encik Dillirudai "dalam cara yang kejam dan tidak berperikemanusiaan", mewajarkan hukuman mati.

"Banduan yang disabit kesalahan membunuh, menjalani hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi," menurut MHA dalam satu kenyataan pada Jumaat (22 Mac). Ini di tengah-tengah laporan media mengenai usaha Malaysia untuk merayu agar dia diberikan hukuman lebih ringan.

"Undang-undang kita dilaksanakan secara adil kepada semua, tanpa mengira sama ada si pesalah adalah rakyat tempatan atau warga asing. Semua warga asing yang mengunjungi atau menetap di Singapura mesti mematuhi undang-undang kita."

Pada 29 Mei 2010, Micheal dan tiga rakannya - Tony Imba, Hairee Landa dan Donny Meluda - merancang untuk melakukan rompakan, dengan Micheal bersenjatakan sebilah parang berukuran 58 sentimeter.

Sepanjang malam itu dan awal pagi keesokan hari, Micheal dan rakan-rakannya merompak dan menyebabkan tiga mangsa cedera parah.

Encik Dillidurai pula sedang mengayuh basikal di laluan pejalan kaki di Kallang Road apabila beliau diserang oleh kumpulan itu. Tony menolak Encik Dillidurai, menyebabkan beliau terjatuh daripada basikalnya. Micheal pula mengelar tekak mangsa dan memotong tangan kirinya.

Para penyerang juga merompak dompet mangsa. Encik Dillidurai turut mengalami keretakan pada tengkoraknya serta luka tikaman parah di bahagian tubuh belakanya dan lengan kirnya.

"Ahli patologi forensik mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan (sekurang-kurangnya 20) yang dialami mangsa, termasuk luka pada bahagian lehernya yang menyebabkan vena jugular terputus, serta luka sepanjang 24.5 sentimeter dan seluas 3.7 sentimeter di bahagian tubuh belakangnya, serta luka pada bahagian kepalanya yang menyebabkan keretakan pada tengkoraknya," menurut kenyataan MHA.

"Hukuman mati adalah sebahagian daripada sistem keadilan jenayah Singapura dan ia hanya dilaksanakan terhadap jenayah-jenayah paling serius," menurut MHA.

"Dalam keputusan bertulisnya, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa hukuman mati wajar dikenakan terhadap Micheal kerana dia menyerang mangsa dengan menggunakan sebilah parang menerusi cara yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan," menurut kemeterian itu lagi.

MHA juga menyatakan bahawa Micheal mengemukakan rayuan memohon diberi pengampunan oleh Presiden Halimah Yacob, namun ia ditolak.

"Micheal dikenakan hukuman setimpal di bawah undang-undang, dan diwakili oleh seorang peguam sepanjang proses tersebut," menurut MHA.

Tony dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan dirotan 24 kali.

Pada 2010, Hairee mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan bersenjata dengan menyebabkan kecederaan. Dia dipenjarakan selama 33 tahun dan dirotan 24 kali.

Lelaki keempat, Donny, pula dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun dan dirotan 24 kali pada November lalu. Dia berjaya ditangkap selepas melarikan diri ke Malaysia selama enam tahun.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan