Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Mi udang percuma Deanna’s Kitchen bagi golongan memerlukan meski niaga sendiri terkesan

Beliau mahu menyumbang hampir 20 mi udang percuma setiap hari kepada para pelanggan yang benar-benar memerlukan!

Anggaran Waktu Membaca:
Mi udang percuma Deanna’s Kitchen bagi golongan memerlukan meski niaga sendiri terkesan

Pemilik Deanna's Kitchen, Deanna Chew dan Muhammad Asri Ramli. (Gambar: Deanna's Kitchen/Instagram)

SINGAPURA: Sekalipun perniagaannya sendiri berdepan kesulitan dek tempias pandemik COVID-19 yang sudah berlarutan hampir dua tahun, pemilik perniagaan mi udang popular, Deanna's Kitchen, tetap memikirkan nasib golongan lebih memerlukan di luar sana.

Beliau mahu menyumbang sehingga 20 mangkuk mi udang percuma setiap hari kepada para pelanggan yang benar-benar memerlukan!

Pada Selasa (21 Sep), Cik Deanna yang juga dikenali sebagai Denise, mengumumkan menerusi akaun media sosialnya bahawa cawangan keempat mi udang miliknya akan ditutup pada Oktober ini - kurang enam bulan selepas ia dibuka tahun ini.

Namun, satu lagi pengumuman yang dibuat menerusi catatan yang sama, adalah catatan yang paling mendapat perhatian dan menyentuh hati ramai orang.

Cik Deanna mengumumkan bahawa beliau dan suaminya, Encik Muhammad Asri Ramli memutuskan untuk memberikan mi udang percuma, setiap hari bermula Rabu (22 Sep) sehingga hujung tahun ini, kepada para pelanggan yang sedang berdepan kesukaran dan tidak mampu untuk membeli makanan.

Para pelanggan yang memerlukan boleh datang sahaja ke salah satu cawangan gerainya bagi mendapatkan semangkuk mi udang saiz biasa (regular), "kami tidak akan bertanya dan anda tidak akan dihakimi", kata Cik Deanna.

"Setiap cawangan akan mengagihkan lima mangkuk mi udang saiz biasa secara percuma bagi pelanggan yang datang duduk makan di gerai kami, khususnya mereka yang mendapati diri mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan," menurut Cik Deanna lagi. Beliau sambil menambah, pemberian mi udang percuma ini adalah berdasarkan "yang dahulu akan didahulukan".

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Cawangan-cawangan Deanna's Kitchen terletak di Toa Payoh, Jurong East, Chai Chee dan Woodlands. Cawangan Woodlands hanya akan beroperasi sehingga hujung bulan ini.

Apabila dihubungi BERITAmediacorp, Cik Deanna berkata setakat ini, pihaknya baru menerima satu permintaan bagi mi udang percuma tersebut di cawangan Jurong East.

AWALNYA CAWANGAN WOODLANDS RANCAK

Menerusi catatan beliau, Cik Deanna berkongsi bahawa "keadaan kini semakin mencabar" dan mereka sedang dalam proses menutup cawangan di Woodlands.

"Perniagaan kami di Woodlands bermula dengan begitu rancak. Namun kemudian bermula fasa di mana sekatan-sekatan dilaksanakan dan keadaan menjadi sangat sepi, lengang," Cik Deanna memberitahu BERITAmediacorp.

Menerusi catatan di Instagramnya awal bulan ini, Cik Deanna berkongsi bahawa COVID-19 sangat menjejas teruk perniagaannya. Menurut beliau, harga makanan juga meningkat disebabkan rantaian bekalan makanan yang terjejas namun mereka tidak dapat menyalurkan kos itu kepada para pelanggan dikhuatiri ia menimbulkan tindak balas.

Sekalipun demikian, pasangan suami isteri itu tidak mengeluh malah tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat tinggal dan lagi tiga cawangan perniagaan mereka.

"Meskipun kami sendiri tergapai-gapai mengalami kerugian, tiba-tiba saya terfikir tentang orang lain yang turut bergelut dengan keadaan sekarang, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kita.

"Jadi bagi saya, untuk memberikan lima mangkuk mi udang percuma kali empat cawangan, bukanlah suatu sumbangan yang begitu besar," kata Cik Deanna, dengan rendah diri.

Pemilik Deanna's Kitchen, Deanna Chew dan Muhammad Asri Ramli bersama anak mereka. (Gambar: Deanna's Kitchen/Instagram)

Pemilik Deanna's Kitchen, Deanna Chew dan Muhammad Asri Ramli bersama anak mereka. (Gambar: Deanna's Kitchen/Instagram)

Lantaran itu, besar harapan Cik Deanna jika usahanya ini dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, supaya mereka boleh datang menikmati mi udang tersebut.

"Mereka boleh datang setiap hari jika mereka tidak jelak memakan mi udang. Saya tak kisah pun. Yang penting, mereka ada makanan untuk diri mereka, anak mereka atau orang tua mereka," ujar beliau.

"Kami sentiasa percaya, dengan menyumbang semula kepada masyarakat, ia tidak sekali-kali akan merugikan kami berdua malah ia memang sesuatu yang kami berpegang teguh sejak membuka gerai ini pada 2017," kata Cik Deanna, sambil menambah "setiap kebaikan itu adalah Sadaqah". 

LAPORAN LAIN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan