Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA usul kuasa polis diperluas tangani serangan pengganas

Gambar-gambar dan video operasi taktikal polis semasa serangan pengganas boleh memberikan para pelaku akses kepada maklumat yang boleh membantu mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Feb 2018 01:57PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 12:20AM

SINGAPURA: Gambar-gambar dan video operasi taktikal polis semasa serangan pengganas boleh memberikan para pelaku akses kepada maklumat yang boleh membantu mereka.

Ini sekaligus akan menghalang tugas polis dan membahayakan nyawa para mangsa dan dan pegawai penguat kuasa undang-undang yang terlibat.

Untuk mencegah perkara seumpama itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (27 Feb) menyarankan satu Rang Undang-Undang baru yang membolehkan Pesuruhjaya Polis mengeluarkan "arahan berhenti komunikasi" semasa operasi masih dijalankan.

Ia mewajibkan semua orang supaya berhenti merakam atau memetik gambar lokasi insiden atau mengirimkannya kepada orang lain.

Arahan di bawah Rang Undang-Undang 2018 Ketenteraman Awam dan Keselamatan (Kuasa Khas) juga melarang mesej-mesej berbentuk teks atau audio mengenai operasi itu.

Perbuatan melanggar arahan tersebut adalah satu kesalahan. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga $20,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Rang Undang-Undang yang diusulkan itu juga membolehkan polis menghalang kenderaan tanpa pemandu (UAV) yang diterbangkan di sekitar lokasi insiden, tanpa mengira niat dan kegiatannya.

Buat masa ini, polis boleh mengambil tindakan ke atas peralatan sedemikian jika ia dengan jelas mengancam keselamatan awam.

"Pesawat, kapal dan kenderaan tanpa pemandu seumpama itu boleh digunakan sebagai alat untuk merisik maklumat atau sebagai senjata," menurut MHA.

Kuasa khas itu bagaimanapun hanya boleh digunakan setelah Menteri Ehwal Dalam Negeri meluluskannya.

Menurut MHA, menteri tersebut mesti berpendapat bahawa "insiden serius sudah atau sedang berlaku di Singapura" atau terdapat ancaman yang akan berlaku.

Menteri juga mesti berpendapat bahawa kuasa khas itu perlu digunakan untuk mencegah insiden tersebut daripada berlaku atau mengurangkan kesannya, untuk mengawal, memulihkan atau menjaga ketenteraman awam, tambah MHA.

INSIDEN YANG MAKLUMATNYA BANTU PENYERANG

"Menyekat akses maklumat mengenai operasi taktikal daripada pengganas untuk mengurangkan kesan serangan amat kritikal bagi kejayaan sesuatu operasi," menurut MHA, sambil merujuk kepada serangan yang berlaku di Mumbai pada 2008 dan baru-baru ini di Paris pada 2015.

Semasa serangan di Mumbai, siaran langsung yang menunjukkan persediaan pasukan keselamatan untuk menyerbu Hotel Taj Mahal Palace membolehkan lelaki-lelaki bersenjata yang berada di dalam bangunan itu menjangkakan tindakan pasukan keselamatan.

Nyawa lebih 100 orang diragut dalam insiden serangan berangkai yang dilancarkan oleh empat lelaki bersenjata.

Dalam serangan di Paris pada bulan Januari 2015 pula, seorang pengganas yang sedang menahan beberapa tebusan di kafe Hyper Cacher dapat mengikuti siaran langsung yang menunjukkan pegawai polis di luar bangunan sedang bersiap sedia untuk menyerbu masuk.

Seorang lelaki bersenjata membunuh tiga pelanggan dan seorang kakitangan kafe tersebut sebelum polis menembaknya.

"Dalam kedua-dua insiden, jelas sekali maklumat yang diperolehi pengganas menyulitkan operasi polis, mengurangkan peluang bagi operasi yang berjaya dan meletakkan keselamatan para pegawai dan tebusan dalam bahaya lebih besar," menurut MHA.

RANG UNDANG-UNDANG BARU BERDASARKAN AKTA LAMA

Rang Undang-Undang baru itu adalah kemas ini daripada Akta Ketenteraman awam (Penjagaan), yang akan dimansuhkan.

Akta lama itu digubal pada tahun 1958 untuk memberikan kuasa khas bagi menangani rusuhan kaum besar-besaran.

Sungguhpun demikian ia tidak boleh digunakan bagi insiden yang mengancam keselamatan awam namun tidak mencetuskan gangguan awam besar-besaran.

Selain menghentikan komunikasi, Rang Undang-Undang itu juga membolehkan polis memberi arahan kepada para pemilik bangunan di lokasi insiden untuk mengambil tindakan seperti menutup operasi mereka, menyekat keluar masuk dan menyediakan maklumat seperti pelan lantai.

Rang Undang-Undang itu juga memberikan kuasa yang dipertingkat kepada polis untuk menahan dan menyoal siasat individu di lokasi insiden.

Menurut MHA, secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang baru itu melindungi rahsia operasi taktikal dan membolehkan polis memberikan respons kepada insiden serius dengan lebih cekap. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan