Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA semak undang-undang trafik; pemandu berdepan hukuman lebih berat bagi kesalahan serius

Para pemandu yang didapati melakukan kesalahan trafik yang serius akan menghadapi hukuman lebih berat sebagai sebahagian daripada pindaan yang diusulkan bagi Akta Lalu lintas Jalan Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
MHA semak undang-undang trafik; pemandu berdepan hukuman lebih berat bagi kesalahan serius

Gambar fail.

Diterbitkan : 21 Feb 2019 05:02PM Dikemas Kini : 21 Feb 2019 05:06PM

SINGAPURA: Para pemandu yang didapati melakukan kesalahan trafik yang serius akan menghadapi hukuman lebih berat sebagai sebahagian daripada pindaan yang diusulkan bagi Akta Lalu lintas Jalan Raya.

Tempoh hukuman penjara dan denda lebih berat akan dikenakan "bagi kesalahan serius di mana pemandu terbabit menunjukkan tingkah laku teruk yang juga memudaratkan mangsanya," kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (21 Feb).

Contoh-contoh memandu secara berbahaya termasuk mereka yang memandu dalam keadaan mabuk dan memandu laju di lintasan pejalan kaki.

MHA mengusulkan supaya tindakan memandu secara tidak bertanggungjawab dikategorikan kepada dua kelas kesalahan - Memandu secara Berbahaya dan Memandu secara Cuai. Dua kategori ini akan dicabangkan lagi, bergantung kepada tahap kecederaan yang berlaku.

Dua kelas kesalahan berkait dengan tindakan terburu-buru dan perbuatan cuai dalam Kanun Keseksaan, menurut MHA, meskipun setiap kesalahan dikenakan tempoh maksimum penjara lebih lama dan denda maksimum lebih tinggi berbanding dengan apa yang ditetapkan dalam Kanun Keseksaan.

Tempoh maksimum penjara bagi kesalahan memandu secara berbahaya, misalnya, mungkin dinaikkan dari lima tahun kepada lapan tahun, dengan hukuman minimum penjara selama setahun jika tindakan pemandu mengakibatkan kematian atau kecederaan teruk.

Tempoh maksimum penjara juga akan dinaikkan dari dua tahun kepada tiga tahun bagi kesalahan memandu secara cuai sehingga mengakibatkan kematian. Hukuman minimum mandatori juga akan dikenakan.

Hukuman bagi pesalah berulang juga mungkin ditambah seganda lebih berat, menurut MHA.

Jika pemandu didapati bersalah memandu ketika dalam keadaan mabuk atau mengambil dadah, dia mungkin berdepan dengan hukuman tambahan iaitu sehingga dua tahun lagi dalam penjara. Hukuman tambahan selama sekurang-kurangnya lagi setahun dalam penjara juga akan dikenakan jika perbuatannya itu menyebabkan kematian atau kecederaan teruk. Hukuman bagi pesalah berulang juga seganda lebih berat.

Mulai 1 Apr, pihak berkuasa juga akan menaikkan jumlah denda atau jumlah terkumpul bagi kesalahan trafik melibatkan pemandu, pejalan kaki dan penunggang basikal.

DIGANTUNG DARIPADA MEMANDU

Pengumuman MHA tentang semakan undang-undang trafik menyusuli kenyataan polis yang mendedahkan statistik tahunan tentang kemalangan trafik di Singapura.

Laporan itu menunjukkan meskipun jumlah nahas yang dilaporkan merosot tahun lalu, jumlah kemalangan akibat pemandu mabuk dan mereka yang tidak berhenti di lampu merah kian meningkat.

Sebagai sebahagian daripada pindaan Akta Lalu lintas Jalan raya, lebih banyak pemandu yang melanggar undang-undang trafik juga boleh digantung daripada memandu. MHA merancang untuk meluaskan senarai kesalahan yang memperuntukkan hukuman sedemikian dengan tempoh penggantungan minimum.

MHA juga merancang untuk meluaskan jenis kesalahan bagi lesen pemandu digantung serta merta sementara menantikan kes mereka dibicarakan di mahkamah.

Penggantungan minimum selama lapan tahun diusulkan bagi pemandu yang menyebabkan kematian atau kecederaan teruk disebabkan memandu secara berbahaya. Hukuman itu boleh dilanjutkan sekurang-kurangnya dua tahun lagi sekiranya pemandu melakukan kesalahan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Buat masa ini, hukuman ke atas pemandu yang tidak bertanggungjawab lebih ringan di Singapura berbanding negara-negara lain, tambah MHA.

Antara 2014 dengan 2018, jumlah maklum balas yang diterima Polis Trafik dari orang ramai mengenai pemandu yang tidak bertanggungjawab naik lebih dari seganda, iaitu dari 6,900 aduan kepada 18,500 aduan.

Antara 2015 dengan 2018, jumlah saman yang dikeluarkan pula naik sekitar 20 peratus - dari 152,700 kepada 181,000.

Hukuman lebih berat ditetapkan bagi mereka yang memandu ketika lesen memandu digantung. Di samping itu, kenderaan pemandu akan dirampas bagi pelbagai macam lagi kesalahan. Buat masa ini, mahkamah hanya memutuskan kenderaan pesalah akan dirampas bagi kesalahan-kesalahan tertentu seperti menyertai perlumbaan haram.

MHA mengalu-alukan pandangan orang ramai tentang semakan itu dari Khamis (21 feb) hingga 13 Mac.

Satu dokumen sesi perbincangan awam tentang perubahan-perubahan yang diusulkan sudah dikongsi di portal REACH.

Orang ramai boleh memberikan maklum balas mereka melalui laman itu atau mengirimkan emel kepada RTA_Feedback [at] mha.gov.sg.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan