Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA semak proses makluman keputusan pengampunan, tarikh hukuman banduan

MHA sedang menyemak semula prosedur untuk memaklumkan banduan yang dijatuhi hukuman gantung tentang keputusan rayuan pengampunan serta tarikh hukuman mereka. Ini menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei untuk membenarkan penggantungan hukuman seorang banduan rakyat Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
MHA semak proses makluman keputusan pengampunan, tarikh hukuman banduan

Gambar fail Mahkamah Tinggi.

Diterbitkan : 10 Jul 2019 09:35PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 09:37PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang menyemak semula prosedur untuk memaklumkan banduan yang dijatuhi hukuman gantung tentang keputusan rayuan pengampunan serta tarikh hukuman mereka. Ini menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei untuk membenarkan penggantungan hukuman seorang banduan rakyat Malaysia.

"Kami sedang menyemak prosedur, khususnya berkenaan memaklumkan banduan dan pengemuka rayuan berhubung keputusan rayuan lebih awal sebelum dimaklumkan tentang tarikh hukuman," tulis Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam menjawab soalan Parlimen pada Isnin (8 Jul).

Encik Shanmugam sedang menjawab soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim sama ada ia adalah satu kelaziman bagi seorang banduan dan keluarganya untuk menerima jawapan dari pejabat Presiden berhubung rayuan pengampunan dan notis tarikh hukuman daripada Jabatan Penjara Singapura (SPS) secara serentak.

Menurut menteri itu, ini adalah prosedurnya sejak 2016.

Menjawab soalan Mediacorp, MHA menyatakan semakan yang sedang dijalankan itu, bermula pada Mei 2019 menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes Pannir Selvam Pranthaman.

Warga Malaysia, Pannir Selvam, 31 tahun, didapati bersalah membawa 51.84g dadah heroin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada September 2014.

Hukuman gantung yang sepatutnya dilalui ditahan dahulu hanya sehari sebelum tarikh hukuman dijalankan.

Pannir Selvam dan keluarganya dimaklumkan secara bertulis bahawa Presiden menolak rayuan pengampunannya serta tarikh hukumannya, hanya seminggu sebelum hukuman dijadualkan.

Hakim Besar Sundraresh Menon berkata Pannir Selvam sepatutnya "diberikan peluang secukupnya untuk mendapatkan nasihat sama ada dia ada peluang untuk berjaya mengemukakan rayuan".

Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Francis Ng "secara jujur" akur bahawa tempoh yang diberi tidak memadai bagi Pannir Selvam mendapatkan nasihat mengenai sebarang pilihan yang ada untuk merayu perlaksanaan hukuman, kata Hakim Besar Menon.

Dalam soalannya, Cik Lim bertanya apakah tempoh purata dan median antara keputusan terakhir mahkamah rayuan dengan tarikh hukuman gantung dijalankan.

Beliau turut bertanya jika terdapat "garis pandu bagi tempoh masa bagi Kabinet menghulurkan nasihat kepada Presiden dan Pejabat Presiden memaklumkan pengemuka rayuan".

Dalam jawapannya Encik Shanmugam berkata: "Tempoh median dan purata antara keputusan akhir mahkamah rayuan hingga tarikh hukuman dijatuhkan adalah sekitar satu tahun, berdasarkan hukuman-hukuman beberapa tahun lalu."

Beliau menambah setiap rayuan pengampunan dipertimbangkan secara tersendiri.

"Tiada garis masa khusus yang ditetapkan untuk nasihat Kabinet disampaikan kepada Presiden mahupun bagi pejabat Presiden untuk menjawab pengemuka rayuan," kata Encik Shanmugam.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan