Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MFA tingkatkan usaha kekang sebaran berita dan maklumat palsu

Kementerian Ehwal Luar (MFA) harus mewujudkan dirinya sebagai sumber maklumat yang berwibawa mengenai dasar luar Singapura untuk mengurangkan risiko rakyat Singapura diganggu, berpecah belah dan ditipu oleh berita-berita palsu dan kepalsuan online, menurut kementerian itu hari ini (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
MFA tingkatkan usaha kekang sebaran berita dan maklumat palsu

Dr Tan Wu Meng. (Gambar: Tan Wu Meng/Facebook)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 07:45PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 07:53PM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MFA) harus mewujudkan dirinya sebagai sumber maklumat yang berwibawa mengenai dasar luar Singapura untuk mengurangkan risiko rakyat Singapura diganggu, berpecah belah dan ditipu oleh berita-berita palsu dan kepalsuan online, menurut kementerian itu hari ini (1 Mac).

Berucap dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan, Setiausaha Parlimen Kanan MFA, Dr Tan Wu Meng, berkata bahawa kementeriannya meningkatkan usaha pelibatan awamnya melalui platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Telegram dan WhatsApp, untuk membentuk MFA sebagai satu sumber penting untuk orang ramai mendapatkan pengesahan fakta dan berita.

Menurut Dr Tan, MFA juga meningkatkan jangkauannya kepada rakyat Singapura, termasuk para pelajar, untuk menerangkan prinsip-prinsip asas dasar luar Singapura dan kelemahan-kelemahannya sebagai sebuah negara kecil.

"Dasar luar Singapura hanya boleh berjaya dengan sokongan dan pemahaman rakyat Singapura," kata Dr Tan di Parlimen. Beliau menambah bahawa dasar luar Singapura, pada akhirnya adalah tertumpu kepada memenuhi kepentingan Singapura dan peningkatan daya tahan domestik rakyat Singapura.

Di akhir ucapannya, Dr Tan berkata: "Ketidakpastian akan kekal sebagai ciri umum landskap antarabangsa, tetapi MFA akan terus mencari peluang-peluang untuk memajukan kepentingan negara dan rakyat Singapura."

Komen beliau dibuat sedang Singapura melakar undang-undang baru untuk membendung penyebaran maklumat salah secara dalam talian. Draf undang-undang untuk undang-undang tersebut mungkin dibentangkan pada separuh pertama 2019.

Perundangan sedemikian adalah salah satu daripada saranan Jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan pada Januari 2018 untuk mengkaji kepalsuan online disengajakan. Jawatankuasa itu mengeluarkan 22 saranan dalam satu laporan 279 halaman pada September tahun lepas.

PENYEBARAN KEPALSUAN ONLINE MASALAH GLOBAL SERIUS

Jawatankuasa itu sudah mendapatkan pandangan-pandangan para pemain industri dan orang awam melalui 170 perwakilan secara bertulis, serta pandangan secara lisan daripada 65 individu dan pertubuhan semasa sesi pendengaran awam lapan hari pada Mac tahun lepas.

Jawatankuasa itu berkata bahawa tindak balas itu harus menggunakan pendekatan "serampang berbilang mata", seperti menangani keupayaan orang awam untuk membezakan kepalsuan serta menyokong para wartawan dan pemeriksa fakta dalam kerja mereka. Ia juga perlu pertimbangkan sokongan ekosistem digital yang lebih luas, terutamanya peranan syarikat-syarikat teknologi, tambah jawatankuasa itu .

Dalam menggerakkan usul untuk pelantikan jawatankuasa itu tahun lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, berkata penyebaran kepalsuan online disengajakan adalah masalah yang serius di seluruh dunia hari ini, dan Singapura mudah terdedah kerana terdapat penggunaan Internet yang tinggi di sini dengan 91 peratus isi rumah mempunyai akses internet.

Oleh itu, mudah untuk menyerang dan menyebarkan kepalsuan online, kata Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam juga menekankan bahawa masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama adalah satu lagi faktornya. Ia mudah diesksploitasi oleh pelbagai kepalsuan. Beliau memberi contoh penyebaran khabar angin palsu pada tahun 2017 bahawa kononnya daging kucing dan anjing dijual di Bazar Geylang Serai. 

Sumber : CNA/IL/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan