Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mesti asingkan diri jika pulang dari ASEAN, Perancis, India & Switzerland; SHN kini semakin diperluas

Para penduduk Singapura yang pulang ke tanah air dari negara-negara ASEAN, Perancis, India dan Switzerland mesti mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mesti asingkan diri jika pulang dari ASEAN, Perancis, India & Switzerland; SHN kini semakin diperluas

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Apr 2020 08:39AM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 09:46AM

SINGAPURA: Para penduduk Singapura yang pulang ke tanah air dari negara-negara ASEAN, Perancis, India dan Switzerland mesti mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan.

Syarat terbaru ini merupakan peluasan pada syarat-syarat yang sebelum ini ditetapkan dalam Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) yang kini merangkumi lebih banyak negara dalam senarainya.

Ia akan dikenakan ke atas rakyat Singapura, penduduk tetap negara ini dan juga pemegang pas jangka panjang yang pulang ke Singapura bermula dari 5 April pada 11.59 malam, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (4 Apr).

Sebelum ini, hanya mereka yang pulang dari Amerika Syarikat dan United Kingdom saja yang perlu menjalani SHN di kemudahan-kemudahan yang sudah diperuntukkan oleh Pemerintah.

Menurut MOH, langkah-langkah yang diperluaskan itu adalah bagi melindungi rakyat Singapura dan membendung penularan dalam masyarakat yang disebabkan oleh kes-kes import.

Negara-negara tersebut adalah berdasarkan penilaian risiko dan sejarah kes import di Singapura, yang turut mengambil kira ketersediaan kemudahan-kemudahan pengasingan diri yang diperuntukkan.

"Kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan bagi SHN bukan setakat menyediakan bilik hotel saja," tegas MOH.

"Kami juga bekerjasama dengan para pengendali hotel untuk menyediakan latihan bagi kakitangan mereka dan melaksanakan aturan keselamatan yang sewajarnya termasuk langkah-langkah bagi mengawal jangkitan dan usaha pencegahan. Ia juga mengambil masa untuk menyediakan kemudahan-kemudahan sedemikian dan jumlahnya tidak cukup buat masa ini untuk menampung semua yang pulang ke tanah air," tambah kenyataan itu lagi.

"Berdasarkan kapasiti sedia ada, kami perlu mengutamakan kemudahan-kemudahan ini untuk mereka yang pulang dari negara-negara tertentu."

Bagi mereka yang pulang dari negara-negara lain, mereka boleh menjalani tempoh SHN selama 14 hari di rumah masing-masing.

MOH turut mendedahkan bahawa pasukan bertindak berbilang kementerian akan terus memantau "keadaan COVID-19 yang dinamik dan kian berubah-ubah" dan bekerjasama dengan sektor privet untuk mengubah suai kapasiti kemudahan-kemudahan sedemikian dengan sewajarnya.

Singapura pada Sabtu (4 Apr) melaporkan 75 kes baru, jumlah harian tertinggi sejauh ini, yang membawa jumlah terkumpul kepada 1,189 kes yang disahkan sudah dijangkiti COVID-19. Enam daripadanya adalah kes-kes import dengan sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan serta negara-negara ASEAN.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan