Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MESRA dan Narpani 'gong xi' usaha sambut Tahun Baru Cina bersama golongan emas

Lebih 100 relawan MESRA, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (Narpani) serta MAEC dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu India (IAEC) membantu membawa keceriaan Tahun Baru Cina kepada pengunjung di Chinatown dan warga emas di Bukit Batok East.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 100 relawan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA), Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (Narpani) serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu India (IAEC) membantu membawa keceriaan Tahun Baru Cina kepada pengunjung di Chinatown dan warga emas di Bukit Batok East.

Kehadiran badan-badan penyelaras kegiatan Melayu dan India Persatuan Rakyat (PA) ke Kelab Masyarakat Bukit Batok East bukan sekadar untuk menyebarkan semangat muhibah berbilang kaum bahkan memupuk sikap ihsan terhadap golongan memerlukan khususnya pada musim perayaan.

Dianjurkan buat tahun kedua, inisiatif itu satu usaha untuk mendalami lagi pemahaman budaya kaum lain serta menguatkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum.

"Pada tahun lalu, acara perayaan sambutan Tahun Baru Cina ini, MESRA adakan secara persendirian. Tapi pada tahun ini, kami berbesar hati dapat berkolaborasi dengan Narpani untuk sama-sama menjayakan acara ini.

"Bukan sahaja kita memberikan buah limau seperti yang kita buat tahun sebelumnya, tahun ini kita telah mengundang segolongan warga emas untuk kita sama-sama merayakan Tahun Baru Cina. Pada masa yang sama kita membawa mereka bersiar-siar di Chinatown dengan menaiki bas," kata pengerusi PA MESRA, Cik Amatul Jameel Suhani.

'SIMPULAN CINA' MENGERATKAN LAGI TALIAN BERBILANG KAUM

Selama dua jam, para relawan dan warga emas diajak mendengar ceramah mengenai adat istiadat kaum Cina, serta melakukan aktiviti membuat kraftangan simpulan Cina atau 'Chinese Knot'.

Lapan simpulan yang terdapat dalam ikatan itu dianggap membawa tuah dalam masyarakat Cina, kerana melambangkan panjang usia.

"Saya telah mempelajari adat dan budaya mereka seperti makanan yang dihidangkan dan juga makna disebalik simbol-simbol yang ada untuk Tahun Baru Cina," kata salah seorang relawan PA Belia MESRA, Cik Zulayqha Zulkifili.

Kehadiran Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam menyerikan lagi perayaan berbilang kaum yang dianjurkan. Beliau yang juga penasihat kepada PA Belia MESRA amat menggalakkan usaha sedemikian.

"Ini adalah peluang yang baik untuk mempelajari dengan lebih mendalam tradisi sesuatu budaya itu di sini, bangsa Cina. Ini adalah sesuatu yang saya harap kita dapat terus pupuk kerana dengan adanya pemahaman yang lebih mendalam, ia akan mengeratkan lagi hubungan kita antara satu sama lain," ujar Cik Rahayu.

Sejurus tamat acara di Kelab Masyarakat Bukit Batok East, para relawan secara beramai-ramai menaiki bas ke kawasan Chinatown di mana mereka menyertai 40 relawan lain untuk membahagi-bahagikan 800 beg berisi buah oren dan paket merah kepada pengunjung di sana.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan