Images

MESRA berjaya kumpul dana $5,000 daripada bunga manggar kitar semula

SINGAPURA: Sebanyak S$5,000 berjaya dikumpulkan hasil mengitar semula bunga-bunga manggar yang pernah digunakan untuk acara Chingay pada Februari tahun ini.

Setiap batang bunga manggar tersebut sudah "dilelongkan" pada harga S$500 setiap satu. Ia sudahpun ditempah oleh para penderma korporat yang termasuk AMP Singapore.

Kini bunga-bunga manggar itu bukan sahaja dipamerkan dalam bentuk seni pemasangan di Wisma Geylang Serai. Ia juga memberi manfaat kepada golongan bekas-bekas pesalah.

BUNGA MANGGAR DIBUAT DARIPADA BAHAN KITAR SEMULA

Bunga-bunga manggar yang dipamerkan di Wisma Geylang Serai itu sebenarnya diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula dan mesra alam.


Ini termasuklah kain samping, tudung lama, straw dan pelbagai lagi.

Cik Saimah Basir adalah antara anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh East yang meluangkan masanya menghasilkan bunga manggar itu.

"Jadi kita ahli-ahli cuba mencari straw atau kita tanya jiran straw yang tidak diperlukan kita ambil, kita cuci bersih dan kita kumpul. Jadi kita mendapat macam-macam warna straw untuk dijadikan bahan untuk membuat bunga manggar kita," cerita Cik Saimah tentang usaha menghasilkan bungga manggar tersebut.

Anggota MAEC Tanjong Pagar, Cik Rizayati Begai Malawad pula menambah aktiviti gotong-royong menghasilkan bunga manggar tersebut juga adalah peluang yang baik mendampingi golongan muda.

"Kita rasa bangga kerana ia bukan sahaja diusahakan oleh para individu yang berumur seperti saya tetapi anak-anak muda yang sama-sama membuatnya," kata beliau.

Akhirnya, sebanyak 1,000 lidi bunga manggar berjaya dihasilkan MESRA dan 16 lagi pertubuhan yang termasuk Pertubuhan Akar Umbi dan Pertubuhan Melayu/Islam menerusi satu usaha gotong-royong pada November dan Disember tahun lalu.

2 DALAM 1

Yang pasti, usaha itu jelas menggabungkan dua ciri - iaitu mengitar semula dan beramal.

Iaitu hasil jualan bunga manggar tersebut kemudian didermakan kepada Persatuan Anti-Narkotik Singapura (SANA) bagi menyokong pelbagai programnya.


Menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim, usaha murni itu juga secara tidak langsung melestarikan adat dan budaya Melayu.

"Ini adalah satu usaha di mana selain kita memperkayakan lagi budaya Melayu kita dengan masyarakat am di Singapura, ia juga menyumbang kepada satu aspek yang sangat penting dalam kehidupan kita. Iaitu menolong, menyokong mereka yang memerlukan," ujar Dr Faishal.

Hiasan bunga manggar itu akan dipamerkan di Wisma Geylang Serai mulai hari ini sehingga 17 September. 

- BERITAmediacorp/na

Top