Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meski pelbagai isu landa MRT pada 2017, banyak boleh dipelajari

Tahun 2017 mungkin akan diingati sebagai tahun berlakunya beberapa insiden yang menjejas khidmat MRT.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Dec 2017 06:18PM Dikemas Kini : 25 Dec 2017 10:48PM

SINGAPURA: Tahun 2017 mungkin akan diingati sebagai tahun berlakunya beberapa insiden yang menjejas khidmat MRT.

Sungguhpun demikian, para pengamat menjangkakan keupayaan sistem kereta api negara ini akan bertambah baik pada tahun baru.

Isu demi isu melanda rangkaian kereta api disorot laporan berita berulang kali pada tahun ini. Namun dua kejadian paling menonjol berlaku pada separuh kedua 2017 ini.

Pada 7 Oktober, hujan lebat mengakibatkan banjir di terowong dekat stesen MRT Bishan.

Ekoran itu, khidmat kereta api tergendala di laluan Utara-Selatan selama lebih 20 jam sekaligus menjejas lebih suku juta penumpang.

Siasatan mendedahkan bahawa sekumpulan kakitangan SMRT memalsukan rekod-rekod penyenggaraan, mengakibatkan sistem pam airnya gagal berfungsi.

Justeru, lapan kakitangan yang terbabit dibuang kerja.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMRT menarik perhatian tentang adanya "isu-isu budaya kerja yang mendalam" dalam syarikat itu.

Membincangkan insiden itu di parlimen, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pula berkata bahawa pengurusan SMRT bertanggungjawab membina budaya kerja yang betul.

Namun, masalah kereta api tidak berhenti di situ. Pada 15 November pula, 38 orang cedera apabila dua kereta api bertembung di laluan Timur-Barat. Ia merupakan kejadian kedua yang sedemikan rupa dalam sejarah 30 tahun MRT.

Pihak berkuasa menyatakan insiden tersebut disebabkan masalah sofwe yang berlaku sedang kereta api rosak berpindah dari sistem isyarat lama kepada yang baru.

Akibatnya, 19 stesen sepanjang laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat terpaksa ditutup awal dan dibuka lambat, serta ditutup sepanjang hari pada dua Ahad bulan Disember ini.

Tindakan berkenaan adalah bagi memberi lebih masa untuk kakitangan menjalankan penyenggaraan dan mempercepat peningkatan sistem isyarat pada laluan Timur-Barat.

Bagaimanapun, kalangan pakar akur bahawa pemerintah dan SMRT sudahpun mengehadkan gangguan kepada penumpang seminimum mungkin.

Namun, perlanggaran di stesen Joo Koon mengingatkan kita pentingnya mengutamakan keselamatan.

Usaha meningkatkan keutuhan pengangkutan awam sudahpun berjalan sejak 2013. Sejauh ini, dua daripada enam projek sudah selesai dengan peningkatan sistem isyarat, bekalan tenaga, litar landasan dan kereta api masih berjalan.

Terdapat juga rancangan menggandakan rangkaian kereta api menjelang 2030.

Pakar-pakar mengatakan bahawa ia kemungkinan besar memainkan peranan utama memperkukuh kecekapan sistem pengangkutan. 

Sumber : CNA/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan