Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meski larangan dikeluarkan, penjualan kotak TV berjalan seperti biasa

Kedai-kedai di Sim Lim Square masih menjual kotak-kotak aplikasi atau apps TV yang membolehkan penstriman kandungan premium seperti filem-filem, rancangan televisyen dan saluran-saluran langsung sukan dengan pembayaran sekali.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski larangan dikeluarkan, penjualan kotak TV berjalan seperti biasa

Gambar fail Sim Lim Square. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 12:17AM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 12:24AM

SINGAPURA: Kedai-kedai di Sim Lim Square masih menjual kotak-kotak aplikasi atau apps TV yang membolehkan penstriman kandungan premium seperti filem-filem, rancangan televisyen dan saluran-saluran langsung sukan dengan pembayaran sekali.

Ini meskipun Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan supaya para penyedia khidmat Internet menyekat akses kepada aplikasi-aplikasi penstriman yang disertakan dalam kotak-kotak apps TV, yang juga dikenali sebagai kotak Android.

Satu app yang diharamkan adalah UBTV, yang disertakan dalam kotak TV dipanggil Ubox. UBTV milik sebuah syarikat berpangkalan di China, Unblock Tech.

Mediacorp berkunjung ke sebuah kedai yang menjual Ubox hari ini (26 Nov), dan menyamar sebagai seorang pelanggan. Seorang jurujual di kedai berkenaan berkata aplikasi UBTV masih boleh digunakan seperti biasa. "Ia disekat penyedia rangkaian anda, tetapi ia masih boleh digunakan," katanya.

(Gambar: Facebook)

Semasa mencuba kotak TV itu, penjual wanita berkenaan berkata para pengguna masih boleh menggunakan aplikasi tersebut dengan memuat turun aplikasi lain yang mengubah pengesetan (settings) Sistem Nama Domain (DNS).

"Anda harus membuka aplikasi ini dahulu," tambahnya, sambil menunjukkan cara-cara memuat turun aplikasi berkenaan, yang kemudian menunjukkan pengesetan baru DNS pengguna. "Selagi anda mempunyai maklumat ini, ia akan menunjukkan bahawa ia sudah dipasangkan."

Jurujual itu kemudian memuat turun aplikasi-aplikasi penstriman lain yang berjaya memainkan saluran-saluran langsung premium. Sesetengah aplikasi juga membolehkan para pengguna memuat turun filem-filem Hollywood yang baru dikeluarkan seawal tahun ini.

Kedai berkenaan menjual Ubox, dengan waranti setahun, pada harga S$198.

Satu lagi kedai memasang iklan kecil bagi penjualan Unblock TV, dekat dengan kotak-kotak TV yang dijual. Dalam iklan tersebut, tertulis bahawa pembeli boleh menonton secara langsung lebih 1,000 saluran TV dari negara-negara seperti Singapura, Malaysia, dan Jepun.

Jurujual di tempat itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen selepas wartawan memperkenalkan dirinya. Tidak lama selepas itu, seorang lagi jurujual menafikan bahawa beliau menjual UBTV. "Kami tidak menjual (produk-produk) yang tidak sah," katanya.

"KAMI TIDAK BOLEH MENYALAHI UNDANG-UNDANG"

Dua lagi kedai di Sim Lim Square juga menjual kotak-kotak TV di mana penjualnya mengatakan bahawa mereka tidak terjejas dengan larangan itu.

Meskipun kotak-kotak TV yang mengandungi pentafsir kod (decoder) bagi membolehkan para penonton menyaksikan kandungan premium secara percuma adalah perbuatan haram, undang-undang masih belum jelas apabila ia menyentuh tentang jenis-jenis kotak TV yang menggunakan aplikasi-aplikasi "sah".

Dua penjual kotak TV, An-Nahl dan Synnex Trading, pada Januari lalu didakwa "sewenang-wenangnya melanggar" hak cipta empat syarikat, sekaligus satu peluang bagi Mahkamah untuk menjelaskan kedudukannya tentang penggunaan kotak-kotak TV seperti itu.

Pengarah An-Nahl, Abdul Najib Abdul Aziz sudah mengatakan bahawa beliau ingin melawan pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan syarikat. Perbicaraan ditetapkan pada April tahun depan.

NETIZEN TERUS CARI CARA

Dalam pada itu, para netizen juga berjaya mencari cara serupa untuk mengatasi larangan itu, dengan menukar pengesetan DNS pada kotak TV atau peranti Internet.

Seorang pengguna menunjukkan akses kepada UBTV sudah disekat. (Gambar: Facebook)

Dalam laman Facebook 'New TV Box SG', salah seorang anggotanya menulis: "Tidak perlu VPN, tukar sahaja DNS." Seorang lagi membalas: "Terima kasih bagi tips itu! Ia berhasil."

Pada satu lagi catatan tentang larangan itu, seorang lagi anggota berkata, beliau sanggup membayar bagi alternatif lain untuk menonton kandungan premium. "Telko mengenakan harga terlalu tinggi," adunya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan