Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meski bahasa Inggeris lebih kerap digunakan, bahasa ibunda kekal relevan: Majlis penggalakan bahasa

Penggunaan meluas bahasa Inggeris sebagai bahasa yang paling kerap digunakan di rumah tidak semestinya bererti bahasa vernakular diabaikan. Sebaliknya, ini menunjukkan tahap dwibahasa yang sihat, menurut majlis-majlis penggalakan bahasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski bahasa Inggeris lebih kerap digunakan, bahasa ibunda kekal relevan: Majlis penggalakan bahasa

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 23 Jun 2021 09:09AM Dikemas Kini : 23 Jun 2021 09:12AM

SINGAPURA: Penggunaan meluas bahasa Inggeris sebagai bahasa yang paling kerap digunakan di rumah tidak semestinya bererti bahasa vernakular diabaikan. Sebaliknya, ini menunjukkan tahap dwibahasa yang sihat, menurut majlis-majlis penggalakan bahasa.

Dapatan banci penduduk Singapura yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling kerap digunakan di rumah untuk hampir separuh daripada semua penduduk pada 2020, meningkat daripada kira-kira satu pertiga penduduk berbanding sedekad yang lalu.

Penggunaan bahasa Inggeris yang lebih meluas dilihat dalam semua kumpulan etnik utama, sementara penggunaan bahasa Mandarin, dialek Cina, Melayu dan Tamil kian merosot.

Badan-badan yang mempromosikan bahasa utama di Singapura memberitahu Mediacorp bahawa dapatan ini tidak mengejutkan, memandangkan bahasa Inggeris adalah bahasa perantaraan atau lingua franca di sini.

"Ia benar-benar bahasa dengan kegunaan praktikal dan peribadi - praktikal kerana ia adalah bahasa pentadbiran dan perdagangan, dan peribadi kerana ia adalah bahasa perpaduan yang membantu kita memahami dan berhubungan antara satu sama lain," kata ketua Gerakan Bertutur Bahasa Inggeris Yang Baik Jason Leow.

Tetapi walaupun bahasa Inggeris semakin kerap digunakan, majlis-majlis bahasa menekankan bahawa bahasa vernakular masih sangat relevan dalam kalangan penduduk.

Encik Chua Chim Kang, ketua Majlis Penggalakan Bahasa Mandarin, berkata penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meningkat tidak semestinya bermakna "bahasa Mandarin atau bahasa ibunda yang lain diabaikan".

"Bahasa ibunda sangat hidup dan digunakan dalam pelbagai masyarakat, untuk tujuan dalam keadaan yang berbeza-beza," katanya.

Bukti anekdot menunjukkan bahawa bahasa Mandarin terus digunakan dalam banyak ruang riadah dan sosial lain di luar rumah, tambah Encik Chua.

KEUPAYAAN DWIBAHASA MAKIN KUKUH

Di samping itu, data banci penduduk itu juga mendapati bahawa dalam kalangan mereka yang sering bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, hampir sembilan daripada 10 juga menggunakan bahasa vernakular dalam situasi yang sama.

Pengerusi Majlis Bahasa Tamil, Encik Manogaran Suppiah, berkata ini adalah "hasil yang sihat" untuk dwibahasa - yang sudah sekian lama menjadi sebahagian besar dasar bahasa di Singapura.

Encik Leow dari Gerakan Bertutur Bahasa Inggeris Yang Baik menambah: “Ini mencerminkan kemampuan kita untuk menggantikan kata-kata atau ayat-ayat (code-switch), walaupun kita dapat menguasai beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris. Ini adalah kemahiran yang harus kita banggakan dan raikan. "

Khususnya, data itu menunjukkan tahap dwibahasa yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu, kata Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Profesor Madya Faishal Ibrahim.

Dalam kalangan responden Melayu yang paling kerap bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, lebih sembilan daripada 10 daripada mereka berkata bahasa Melayu adalah bahasa kedua yang paling kerap mereka gunakan.

Ini jelas menunjukkan bahawa "penggunaan bahasa Inggeris yang diutamakan bukan isyarat bahasa Melayu semakin pudar", kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara.

Beliau menambah bahawa masyarakat terus meraikan budaya, tradisi dan nilai Melayu, sedang badan-badan Melayu memperjuangkan bahasa Melayu.

"Keghairahan dan semangat masyarakat untuk bahasa Melayu sayangnya tidak terakam dalam dapatan banci," kata Dr Faishal.

MENERUSKAN PERJUANGAN

Namun demikian, majlis-majlis bahasa menyatakan banyak lagi yang dapat dilakukan, dan menekankan bahawa dapatan banci itu berguna dalam membimbing usaha mereka untuk menyemai penghargaan yang lebih mendalam terhadap bahasa-bahasa tersebut.

Golongan belia menjadi kumpulan sasar utama majlis-majlis tersebut. Data banci menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris di rumah pada umumnya lebih kerap dalam kalangan penduduk yang lebih muda berbanding mereka yang lebih tua.

"Satu kumpulan penting yang telah kami pantau, dan akan terus melakukannya, adalah mereka yang berumur 19 tahun dan ke bawah, atau populasi pelajar kami. Kami sedar bahawa lebih banyak yang harus dilakukan untuk menggalakkan mereka untuk menggunakan bahasa ibunda kita, "kata Prof Madya Faishal.

Walaupun beberapa inisiatif sudah dilaksanakan, Dr Faishal menambah bahawa majlis tersebut akan tetap terbuka kepada idea-idea dan pendekatan baru untuk memastikan masyarakat terus terlibat.

Pandangan serupa dikongsi Encik Manogaran dari Majlis Bahasa Tamil, yang berkata: "Majlis itu telah lama mengenal pasti perlunya untuk memperkukuhkan jangkauan untuk mendekati lebih ramai belia... Data dalam banci sekarang menyokong apa yang kami tahu dan pendekatan kami."

Beliau menambah bahawa dasar dwibahasa dalam sistem pendidikan sudah memastikan bahawa kebanyakan pelajar Tamil dapat membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa tersebut, seperti yang dibuktikan dalam "kadar kelulusan yang tinggi dalam peperiksaan nasional".

"Cabaran sebenar adalah untuk menolong para pelajar dan belia kita untuk mencari motivasi bertutur dalam bahasa Tamil dengan lebih aktif apabila ada peluang selepas mereka meninggalkan sistem sekolah."

Encik Chua dari Majlis Penggalakan Bahasa Mandarin juga akan mencari cara baru untuk memenuhi keperluan anak muda Singapura, kerana beliau akur keperluan dan citarasa berubah dari semasa ke semasa.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan