Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meski ada ketidaktentuan global, S'pura 'tidak perlu khuatir': Dr Vivian Balakrishnan

Singapura akur akan ketidaktentuan dan ketidakstabilan di dunia hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Nov 2018 08:47PM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 03:51PM

SINGAPURA: Singapura akur akan ketidaktentuan dan ketidakstabilan di dunia hari ini. Namun, melihat kepada pencapaiannya tahun ini, Singapura tidak perlu khuatir tentang apa yang berlaku kelak, kata Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan hari ini (19 Nov).

Mengulas tentang dasar luar negara Singapura dalam satu Kenyataan Menteri di Parlimen, Dr Balakrishnan berkata Singapura sudah membina "aset yang sangat berharga iaitu kepercayaan" dari jiran-jirannya dan masyarakat antarabangsa, berlandaskan undang-undang antarabangsa dan memerintah berasaskan undang-undang. Ini dilakukan meskipun pada saat-saat "pergolakan besar geopolitik".

"Mereka mempercayai kita kerana mereka tahu kita broker yang jujur. Kita berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa serta orde dunia dan perdagangan bebas yang berasaskan undang-undang. Kita percaya kepada pentingnya berpegang kepada perjanjian dan kontrak-kontrak," katanya. "Dan mereka yakin dengan keupayaan kami untuk melaksanakan sesuatu ketika waktunya suntuk dan hasilnya begitu mendesak dan penting."

Namun, beliau menekankan bahawa dasar luar negara bertitik dari negara ini sendiri. Maka itu, sokongan rakyat Singapura amatlah penting. "Dasar luar negara yang berkesan terletak pada kesepakatan rakyat, satu persetujuan yang dicapai dalam dan luar negara, bersama rakyat Singapura," katanya.

KEJAYAAN SINGAPURA JADI PENGERUSI ASEAN HASIL "USAHA SELURUH NEGARA"

Dr Balakrishnan akur bahawa ini merupakan tahun paling sibuk bagi Singapura, melihat kepada pelbagai acara dan inisiatif yang disertai negara ini dalam tempoh setahun.

Sepanjang Singapura menyandang jawatan pengerusi ASEAN, persatuan itu berjaya mencapai beberapa kejayaan dan melancarkan pelbagai projek-projek besar, kata Dr Balakrishnan.

Ini termasuk penubuhan Rangkaian Bandar-Bandar Bijak ASEAN, di mana satu rangka kerja sama dilakarkan bagi pembangunan bandar bijak dan memudahkan pertukaran pelan-pelan tindak, di samping memuktamadkan Model Perjanjian Ekstradisi ASEAN.

Kemajuan besar juga dicapai, tambah beliau, dalam rundingan-rundingan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP). Ia disebut-sebut sebagai pakatan perdagangan terbesar dunia, dengan para pemimpin beriltizam untuk memuktamadkannya pada 2019.

Singapura menyerahkan jawatan pengerusinya kepada Thailand dalam acara penutup Sidang Puncak ASEAN ke-33 pada 15 November.

Dr Balakrishnan menarik perhatian tentang dua acara yang diadakan tahun ini yang menurutnya, mengukuhkan lagi kedudukan Singapura yang tidak memihak, selain keupayaannya untuk menyumbang kepada masyarakat antarabangsa.

Yang pertama adalah Sidang Trump-Kim pada Jun, dan satu lagi adalah Forum Ekonomi Baru Bloomberg yang diadakan awal bulan ini, di mana ia menyaksikan peniaga-peniaga antarabangsa dan pemimpin dunia berkumpul di Singapura untuk membincangkan tentang cabaran-cabaran dalam menghadapi ekonomi global serta huraian-huraiannya.  

Sumber : CNA/AQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan