Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mesin X-ray, pengesan logam diuji di stesen MRT dalam latihan keselamatan

Ini sebahagian daripada latihan bagi kesediaan kecemasan di stesen MRT. Latihan itu dipanggil Latihan Station Guard 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Feb 2018 07:56PM Dikemas Kini : 04 Feb 2018 09:59PM

SINGAPURA: Mesin-mesin X-ray untuk mengimbas beg dan alat pengesan logam lazimnya dilihat di lapangan terbang. Namun mesin-mesin keselamatan itu juga akan digunakan di stesen-stesen MRT sekiranya terdapat ancaman terhadap rangkaian pengangkutan Singapura atau jika kawalan keselamatan diperketat.

Mesin-mesin tersebut diuji di salah satu pintu keluar di Stesen MRT Newton di Laluan Downtown hari ini (4 Feb) dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 6.00 petang oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SBS Transit (SBST).

Ini sebahagian daripada latihan bagi kesediaan kecemasan di stesen MRT. Latihan itu dipanggil Latihan Station Guard 2018.

Semasa latihan dijalankan, barangan dan beg para penumpang diimbas oleh mesin X-ray dan mereka juga diarahkan supaya melalui mesin pengesan logam sebelum melepasi pagar tambang berdekatan pintu keluar A (Exit A) di stesen tersebut.

Timbalan Pengarah bagi Keselamatan Pengangkutan Awam, Joseph Goh berkata: "Latihan ini dijalankan bersama SBST sebagai sebahagian daripada semakan yang kerap dilakukan ke atas langkah-langkah keselamatan dan rancangan bagi rangkaian pengangkutan awam. Kami mahu memberikan respons pantas dan berkesan sekiranya benar-benar terdapat ancaman."

"Kami ingin mengambil peluang ini untuk menasihati para penumpang supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan tentang sebarang individu atau objek yang mencurigakan kepada kakitangan (MRT) atau polis."

Setiap jam, purata hampir 1,600 penumpang melepasi pagar tambang MRT Newton di Laluan Downtown.

Mereka perlu menambah lagi 10 minit kepada masa perjalanan sebelum sampai ke destinasi disebabkan pemeriksaan keselamatan itu.

Namun para penumpang yang ditemui Mediacorp secara amnya tidak begitu bimbang tentang tambahan masa perjalanan itu. Namun mereka berpendapat pemeriksaan tersebut mungkin boleh dijalankan dengan lebih cekap.

Menurut seorang pelajar: "Sekurang-kurangnya ia tidak begitu melecehkan bagi kami. Ia adalah untuk keselamatan, jadi bagi saya pengalamannya tidak begitu teruk."

Menurut CEO SBS Transit Laluan Downtown, Alex Goei, latihan tersebut adalah untuk menguji dan mengesahkan proses-proses yang sudah dirancang sekiranya kawalan keselamatan diperketat.

Beliau berkata: "Pengajaran yang diperolehi dari latihan pagi tadi adalah kami akan mempertingkat proses-proses untuk melihat bagaimana kami boleh memastikan para penumpang melalui pemeriksaan beg, jika kawalan keselamatan perlu diperketat, dalam tempoh minimum dan secekap mungkin."

Ini adalah kali pertama latihan seperti itu dijalankan di Laluan Downtown dan menurut LTA ia akan menjalankan lebih banyak latihan sedemikian pada tahun ini.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan