Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meritokrasi tidak boleh dipersalahkan; Indranee bentang pendekatan pemimpin 4G tangani ketidaksamarataan

Prinsip meritokrasi tidak boleh dipersalahkan bagi isu-isu yang membabitkan ketidaksamarataan dan mobiliti sosial yang dihadapi Singapura. Demikian menurut Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada Khamis (18 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jul 2019 05:14PM Dikemas Kini : 18 Jul 2019 11:09PM

SINGAPURA: Prinsip meritokrasi tidak boleh dipersalahkan bagi isu-isu yang membabitkan ketidaksamarataan dan mobiliti sosial yang dihadapi Singapura. Demikian menurut Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada Khamis (18 Jul) semasa menjelaskan pendekatan yang diambil oleh pasukan pemimpin Generasi Keempat (4G) dalam menangani cabaran-cabaran sedemikian.

Hakikatnya, meskipun Singapura sudah "bekerja keras" untuk menyediakan peluang sama, golongan berpendapatan rendah dan dari latar belakang yang kurang bernasib baik mungkin sukar untuk mengakses peluang-peluang sedemikian, menurut Cik Indranee.

Semasa berucap di sidang penyelidikan khidmat sosial anjuran Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Pendidikan, mempersoalkan "seruan ramai" untuk menilai semula meritokrasi sedang Pemerintah menangani isu tersebut.

Mereka yang boleh mencapai kejayaan lebih tinggi tidak seharusnya disekat semata-mata untuk menyamaratakan kedudukan, tambah beliau.

DASAR MERITOKRASI BANTU GENERASI AWAL

Cik Indranee turut menarik perhatian kepada beberapa perangkaan yang membuktikan bahawa kemajuan yang dicapai dalam usaha membina sebuah
masyarakat yang adil dan sama adalah hasil meritokrasi.

Ini termasuk pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan rakyat, serta dasar-dasar yang bermatlamat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan baru, pertumbuhan pendapatan dan jagaan kesihatan bermutu yang dimampui.

<<READ: 4G leaders will work with Singaporeans to design, implement public policies: DPM Heng>>

Menurut Cik Indranee, kemajuan ekonomi juga membawa kepada tahap sumber yang berbeza-beza, lantas mewujudkan keluarga berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Cik Indranee turut menegaskan bahawa dengan perbezaan ini, ia boleh mewujudkan "hasil yang sangat berbeza dan menghambat mobiliti sosial".

PERUBAHAN PADA STRUKTUR EKONOMI, PERTUMBUHAN LEBIH PERLAHAN

Perubahan pada struktur iktisad Singapura turut melebarkan lagi jurang pendapatan, kata Cik Indranee.

Merujuk kepada perubahan yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI), Cik Indranee berkata: "Sesetengah perubahan ini memburukkan lagi keadaan, di samping mengancam akan melebarkan lagi jurang antara pekerja yang berkemahiran tinggi dengan mereka yang kurang berkemahiran."

Para pekerja yang kurang berkemahiran berisiko tidak dapat memanfaatkan peluang-peluang yang diwujudkan itu.

Selain itu, ekonomi Singapura "melemah secara semula jadi" sedang negara ini menjadi lebih maju dan setara dengan ekonomi-ekonomi maju lain di dunia.

Jika dibiarkan begitu saja, isu mobiliti sosial dan ketidaksamarataan akan menyebabkan golongan yang memerlukan semakin jauh ketinggalan. Ini akan menyebabkan mereka merasakan seolah-olah peluang-peluang yang disediakan itu hanya untuk mereka yang berkedudukan saja.

Bagi mengelakkan semangat "bersatu padu" daripada terhakis, perlu ada campur tangan aktif untuk menyamaratakan dan mempertingkatkan mobiliti sosial.

PENDEKATAN DUA SERAMPANG

Menjelaskan bagaimana kepimpinan 4G akan menangani isu-isu tersebut, Cik Indranee berkata sokongan akan diperkukuhkan untuk membantu golongan yang memerlukan - "untuk memperbaiki akses kepada peluang-peluang bagi golongan kurang berkemampuan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan bagi merapatkan jurang agar segenap masyarakat dapat bangkit bersama - mengupayakan meritokrasi".

Cik Indranee turut menukil skim-skim bantuan bagi bidang perumahan, pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

Cik Indranee juga memberi jaminan bahawa Pemerintah akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan tiada seorang pun yang tidak berpeluang untuk meningkatkan kehidupannya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peri pentingnya untuk golongan yang berpendapatan rendah dan keluarga yang memerlukan memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang yang disediakan.

"Ini bukan setakat tanggungjawab pemerintah saja, ia juga tanggungjawab semua kerana ia akan menjejas kita semua," tegas beliau. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan