Images
  • ndonesia tsunami
    Keadaan di Carita di wilayah Banten selepas dilanda ombak tsunami. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Mercy Relief S'pura tawar bantuan kepada mangsa tsunami Indonesia

SINGAPURA: Mercy Relief menjadi badan kemanusiaan Singapura terkini untuk menawarkan bantuan kepada Indonesia menyusuli tragedi ombak tsunami yang membadai kawasan pantai di sekitar Selat Sunda, antara pulau-pulau Sumatera dan Jawa pada Sabtu (22 Dis).

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu akan menghantar sebuah pasukan penilaian dan tindak balas bencana ke wilayah Lampung di Sumatera dan wilayah Banten di Jawa, yang dilanda bencana alam itu.

Pasukan Mercy Relief itu akan berlepas dari Singapura ke kedua-dua wilayah tersebut pada Rabu ini (26 Dis) bagi menyediakan fasa pertama pengagihan bantuan kecemasan.

Menurut Mercy Relief, para penduduk kini segera memerlukan makanan, air minuman, kain-kain selimut, kit-kit kebersihan diri dan khidmat perubatan.

Persatuan Palang Merah Singapura sebelum itu sudahpun mengikrarkan bantuan kemanusiaan sebanyak $50,000 untuk para mangsa tsunami tersebut, guna membeli peralatan dan keperluan asas seperti sistem tapisan air, selimut, tilam dan kit-kit keperluan asas keluarga.

Persatuan itu juga akan berlepas ke sana pada Rabu ini (26 Dis) dan mengerahkan dua anggotanya dari pasukan respons kecemasan untuk menyertai Palang Merah Indonesia (PMI) demi membantu menyokong kerja-kerja mengagihkan bantuan kemanusiaannya, selain membuat penilaian tentang keperluan di lapangan.

70 HOTEL & VILLA ANTARA TERJEJAS

Pada lewat Isnin (24 Dis), Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia mengumumkan bahawa angka korban akibat tsunami itu sudah meningkat kepada sekurang-kurangnya 373 orang.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, berkata dalam satu kenyataan bahawa sekitar 1,460 orang cedera manakala hampir 130 lain masih hilang.

Lebih 600 buah rumah, sekitar 70 hotel dan villa serta 60 kedai dan 420 bot antara yang dilaporkan musnah akibat tsunami itu. Angka korban akibat bencana alam itu dijangka terus meningkat sedang penilaian kemusnahan disebabkan oleh tsunami itu dijalankan.

Menurut Mercy Relief, pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan-rakan tempatan bagi menentukan keperluan masyarakat terjejas. Badan kemanusiaan itu menambah bahawa pasukannya akan terus memantau keadaan bagi menentukan fasa seterusnya bantuan bencana.

MERCY RELIEF LANCAR KEMPEN KUTIP DERMA HINGGA 25 JAN

Sementara itu, Mercy Relief akan melancarkan kutipan dana awam di Singapura dari 24 Disember 2018 hingga 25 Januari 2019.

Orang awam boleh membuat derma menerusi kaedah berikut:

  1. Derma menerusi Kad Kredit melalui laman Mercy Relief di www.mercyrelief.org
  2. Kirimkan cek kepada "Mercy Relief Limited" dengan menulis "Sunda Strait Tsunami Relief 2018" berserta alamat emel di belakang cek berkenaan. Cek boleh dihantar ke Blk 160, Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568, Singapore 310160
  3. Derma wang tunai di Blk 160, Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568, Singapore 310160
  4. Derma menerusi pemindahan wang ke Akaun Semasa DBS (DBS Current Account) Mercy Relief iaitu 054-900741-2
  5. Derma menerusi giving.sg bagi "Sunda Strait Tsunami Relief 2018"

Persatuan Palang Merah Singapura juga merayu bantuan dari orang ramai serta mengalu-alukan derma bagi membeli barang-barang keperluan jangka pendek serta keperluan pemulihan jangka panjang dan usaha-usaha pembangunan semula.

Orang ramai antara lain boleh membuat pendermaan secara online menerusi redcross.give.asia/sundastraits2018 atau sumbangan tunai ke Red Cross House, 15 Penang Lane, Singapore 238486.  

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top