Images
  • COVID-19 elderly sg
    (Gambar fail: Calvin Oh)

Menteri MOH rumuskan 4 perubahan penting pada protokol COVID-19 S'pura

SINGAPURA: Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan beberapa inisiatif yang berkaitan dengan COVID-19 baru-baru ini.

Perubahan-perubahan ketara ini dilaksanakan hari ini (14 Sep) dan ada juga yang akan dikuatkuasakan esok (15 Sep).

Perubahan-perubahan penting itu ditekankan sekali lagi oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung yang memuat naik rumusan pengumuman yang merangkumi perubahan-perubahan tersebut dalam bentuk satu peringatan kepada seluruh rakyat Singapura ke laman Facebooknya hari ini (14 Sep).

PERTAMA: Sekitar 140,000 warga emas akan dipelawa untuk membuat janji temu bagi mendapatkan suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 mulai hari ini. Suntikan dos ketiga itu boleh diambil di pusat vaksinasi, poliklinik atau Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC). Undangan dalam bentuk kiriman SMS akan dihantar dalam masa beberapa hari akan datang.

KEDUA: Bagi mereka yang mengalami kesulitan untuk bergerak, pasukan-pasukan vaksinasi akan dikerahkan ke rumah para penduduk yang berdepan dengan masalah sedemikian. Menurut Encik Ong, pasukan-pasukan vaksinasi itu akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk memvaksin mereka yang tidak dapat keluar rumah untuk mendapatkannya. Tambah menteri itu lagi, suntikan dos ketiga itu akan mula diberikan di rumah-rumah jagaan mulai Rabu (15 Sep).

KETIGA: Aturan pemulihan di rumah (#HomeRecovery) akan menjadi aturan pilihan bagi individu-individu tertentu yang dijangkiti COVID-19. Khususnya, aturan sedemikian adalah aturan pilihan bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, berusia bawah 50 tahun, berada dalam keadaan sihat dan tidak tinggal serumah bersama dengan golongan yang mudah terdedah kepada risiko jangkitan.

Ini setelah Pemerintah mendedahkan baru-baru ini bahawa lebih 98 peratus kes jangkitan di sini tidak mengalami gejala atau sekadar mengalami gejala ringan.

"Pemulihan di rumah adalah satu perubahan yang penting untuk memastikan katil hospital diperuntukkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya," tegas Encik Ong.


KEEMPAT: Protokol Kuarantin di Rumah (#HomeQuarantine) juga sedang dikemas kini. Jelas Encik Ong, pasukan pengesanan kontak akan memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan mengenal pasti kelompok yang sensitif dan penting seperti hospital atau pasar yang sering dikunjungi oleh warga emas.

Bagi kes-kes lain pula, mereka perlu memaklumkan anggota keluarga atau isi rumah agar mendaftar sebagai kontak rapat supaya Perintah Kuarantin Elektronik (eQO) boleh segera dikeluarkan.

"Bagi kebanyakan orang, kuarantin atau pemulihan di rumah akan memberikan mereka keselesaan, dengan kesihatan mereka terus dipantau rapi," kata Encik Ong.

PUSAT JAGAAN MASYARAKAT, PESANAN BUAT WARGA EMAS

Dalam pada itu, Encik Ong berkata dua Kemudahan Jagaan Masyarakat akan ditubuhkan menjelang hujung bulan ini, dengan kapasiti 1,000 katil kesemuanya.

Jumlah katil pengasingan bagi kes-kes COVID-19 di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan hospital-hospital pula akan ditambah lagi 300, menjadikannya sebanyak 1,300.

Menteri Kesihatan itu turut mengingatkan seluruh rakyat Singapura supaya menjadikan Klinik Doktor Swasta (GP) dan poliklinik tempat kunjungan pertama bagi isu-isu dan masalah-masalah perubatan yang kurang mendesak kerana pendekatan sedemikian akan dapat membantu jabatan kecemasan untuk mengutamakan rawatan bagi kes-kes yang serius saja.

Encik Ong juga menitipkan nasihat para doktor untuk golongan warga emas:

"Kepada warga emas, tidak kira sama ada anda sudah divaksin ataupun tidak, buat masa ini, adalah lebih baik jika anda dapat mengurangkan keluar rumah dan mengurangkan aktiviti sosial anda bersama rakan-rakan anda."

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top