Images
  • spore malaysia
    Kawasan antara Singapura dengan Johor. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Menteri M'sia, S'pura akan bincang 'isu-isu dua hala lain' meski mesyuarat Iskandar ditangguhkan

SINGAPURA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan para menteri Singapura untuk membincangkan "isu-isu dua hala yang lain" menyusuli penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM). Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar Malaysia pada Sabtu (13 Jan).

Dalam kenyataan medianya, kementerian itu turut mendedahkan bahawa Encik Azmin tetap akan bertemu dengan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, sambil menambah ini "menunjukkan kedua-dua negara masih menjalin hubungan yang kukuh."

Singapura mengumumkan pada Sabtu bahawa ia menangguhkan JMCIM - yang dijadual berlangsung pada 14 Januari - setelah Menteri Besar Johor Osman Sapian didapati menceroboh perairan wilayah Singapura di Tuas semasa beliau mengunjungi kapal Malaysia Pedoman.

Kementerian Ehwal Luar Malaysia yang mengesahkan penangguhan mesyuarat itu menyatakan: "Rundingan itu sudah ditangguhkan dan Singapura memaklumkannya melalui Nota Diplomatik bertarikh 11 Januari 2019 dan penangguhan itu disebabkan oleh lawatan YAB Dato' Osman Sapian ke pelabuhan Johor Bahru di perairan Malaysia pada 9 Januari 2019."

Bagaimanapun kementerian itu menambah bahawa mesyuarat antara Encik Azmin dengan para menteri Singapura, Encik Wong dan Dr Balakrishnan berhubung isu-isu lain akan diteruskan.

"Mesyuarat itu akan membentuk langkah positif seterusnya menyusuli mesyuarat dua hala yang membuahkan hasil antara Menteri-Menteri Ehwal Luar Malaysia dan Singapura pada 8 Januari 2019."

Kementerian itu menambah bahawa kedua-dua menteri ehwal luar sedang "berkomunikasi dan bersetuju bahawa kedua-dua pihak harus terus bertenang dan jangan menggemparkan isu tersebut".

"Kementerian kami yakin bahawa momentum pelibatan antara Malaysia dengan Singapura akan diteruskan dan kami juga ingin menegaskan komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Singapura berdasarkan kesamaan dan saling hormat-menghormati," tambah Kementerian Ehwal Luar Malaysia. 

- CNA/NA/na

Top