Images
  • dpm heng and wang yi
    (Gambar: MCI)

Menteri Luar China Wang Yi bertemu DPM Heng, Menteri Balakrishnan pada hari pertama lawatan kerja ke S'pura

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar China Wang Yi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan rakan sejawatannya di Singapura Vivian Balakrishnan pada Isnin (13 Sep), pada hari pertama lawatan kerjanya ke negara ini.

Semasa pertemuan itu, Encik Wang dan Encik Heng "mengesahkan hubungan dua hala yang cemerlang antara Singapura dengan China, dan kemajuan yang dibuat dalam mengukuhkan kerjasama meskipun di tengah-tengah gangguan akibat COVID-19", menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan media,

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala Ke-17 tahun ini, yang akan dipengerusikan bersama oleh Encik Heng dan Naib Perdana Menteri Majlis Negeri China Han Zheng, menurut MFA.

"JCBC akan memudahkan perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang-bidang seperti perdagangan dan pelaburan, kewangan, ekonomi digital, kesihatan awam dan pembangunan mampan serta melakarkan langkah ke hadapan bagi bidang kerjasama yang baru," menurut kementerian itu.

Dalam satu catatan Facebook, Encik Heng menekankan peri pentingnya pertukaran seperti JCBC sedang negara-negara "mengemudi masa hadapan yang lebih rumit dan tidak menentu".

Encik Wang juga bertemu Dr Balakrishnan di mana mereka membincangkan "cara-cara untuk terus mengukuhkan hubungan".


(Gambar: MFA S'pura)

Ini termasuk mengekalkan pertukaran di peringkat tinggi dan memajukan kerjasama dalam projek Pemerintah kedua-dua negara di Suzhou, Tianjin dan Chongqing serta meneroka bidang baru kerjasama seperti ekonomi digital.

Kedua-dua Menteri "mengalu-alukan pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang disahkan kedua-dua Singapura dan China".

Dr Balakrishnan juga menyambut baik minat China dalam Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik, menurut MFA.

"Mereka bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk cara untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan China, sempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China tahun ini."

Encik Wang akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa.

Singapura merupakan tempat persinggahan ketiga beliau dalam rangka lawatannya ke Asia Tenggara, yang juga termasuk Vietnam dan Kemboja. Beliau akan ke Korea Selatan selepas Singapura.

- CNA/HA/ha

Top