Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Kesihatan minta pejabat POFMA keluarkan arahan pembetulan kepada States Times Review, Facebook

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengarahkan Pejabat POFMA (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online) untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Encik Alex Tan, pemilik akaun Facebook States Times Reviews (STR).

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Kesihatan minta pejabat POFMA keluarkan arahan pembetulan kepada States Times Review, Facebook

(Gambar: Factually/gov.sg)

Diterbitkan : 14 Feb 2020 09:59PM Dikemas Kini : 14 Feb 2020 10:03PM

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengarahkan Pejabat POFMA (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online) untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Encik Alex Tan, pemilik akaun Facebook States Times Reviews (STR).

Menurut POFMA hari ini (14 Feb) Encik Gan juga mengarahkan perintah pembetulan dikeluarkan kepada Facebook, yang menjadi wadah catatan STR pada 13 Feb yang dikatakan mengandungi "pelbagai kenyataan palsu" mengenai situasi COVID-19 di sini.

Arahan pembetulan terhadap STR memerlukannya memuat naik notis pembetulan tersebut bersama catatan berkenaan, sementara arahan pembetulan kepada Facebook memerlukan laman itu menerbitkan notis pembetulan di catatan Facebook STR yang dimaksudkan.

Facebook sebelum ini pernah mengeluarkan notis pembetulan bagi satu lagi catatan STR, yang pertama bagi wadah itu.

Menurut artikel Factually di laman Gov.sg, catatan COVID-19 itu membuat lima dakwaan yang "semuanya palsu semata".

PEMERINTAH SANGKAL DAKWAAN

Catatan itu mendakwa Pemerintah gagal mengesan sumber jangkitan bagi mana-mana kes jangkitan COVID-19 di Singapura.

Pemerintah menyangkal dakwaan itu di laman Factually, sambil menyatakan pada 13 Feb, 51 daripada 58 kes jangkitan disahkan sama ada mempunyai sejarah perjalanan ke China atau mempunyai kaitan dengan kes yang diumumkan sebelum ini.

Catatan itu juga mendakwa Pemerintah hanya "satu-satunya pihak" yang memberitahu orang awam supaya jangan memakai pelitup.

Namun, nasihat MOH yang dengan khusus menyatakan tidak perlu bagi individu yang sihat memakai pelitup adalah sejajar dengan garis panduan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pihak berkuasa kesihatan di negara-negara lain seperti Australia dan Amerika Syarikat juga menasihatkan mereka tidak menyarankan pelitup digunakan oleh orang yang sihat, menurut artikel Factually itu lagi.

Dakwaan ketiga yang dibuat dalam catatan itu adalah "setiap pekerja warga China" akan menerima S$100 setiap hari sepanjang tempoh 14 hari cuti wajib, dibiayai sepenuhnya oleh Pemerintah.

Bagaimanapun, menurut artikel Factually, pemegang pas kerja warga China yang diletakkan di bawah cuti wajib tidak menerima sokongan harian S$100. "Majikan mereka yang akan menerima sokongan tersebut," menurut artikel itu, sambil menambah Program Sokongan Cuti Wajib meliputi semua pekerja tidak kira kerakyatan mereka.

Catatan STR itu juga mendakwa Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo sebagai berkata beliau sedang bekerja keras untuk membawa masuk lebih ramai pekerja dari China ke Singapura.

"Beliau pernah mengatakan sedemikian," menurut catatan Factually.

"Bahkan, MOM memerlukan majikan yang mempunyai pekerja dengan pas kerja dan pernah membuat perjalanan ke China agar mendapatkan kelulusan supaya pekerja mereka tidak segera kembali ke Singapura,"tambahnya.

Menurut laman Factually, MOM meluluskan sekitar 200 permohonan setiap hari bagi ketibaan yang dirancang antara 9 Feb dengan 12 Feb, memberi keutamaan kepada permohonan dalam sektor perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, pengurusan sisa dan pengangkutan supaya operasi dalam sektor-sektor itu tidak terjejas.

Tambahnya lagi, banyak lagi permohonan yang ditolak.

Akhir sekali, catatan itu juga mendakwa tujuh negara melarang sebarang perjalanan ke Singapura, namun hakikatnya, tiada negara yang berbuat demikian setakat pukul 8 malam pada Khamis (13 Feb).

Dalam kenyataannya, pejabat POFMA menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan/atau menyebarkan maklumat palsu dan khabar angin.

"Mereka harus merujuk kepada wadah rasmi Pemerintah seperti laman rasmi Kementerian Kesihatan dan khidmat WhatsApp Gov.Sg untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai situasi COVID-19 di Singapura. Sebarang maklumat palsu boleh dilaporkan ke info [at] pofmaoffice.gov.sg."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan