Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri 'bertanggungjawab membuat keputusan muktamad', jangan biarkan sesetengah pihak jejas tugas, tegas Shanmugam

Para menteri mempunyai 'tanggungjawab untuk membuat keputusan muktamad' bagi menimbangkan apa yang betul dan apa yang baik bagi masyarakat dan supaya tidak dipengaruhi oleh golongan minoriti yang lantang bersuara, tegas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 May 2018 07:15PM Dikemas Kini : 03 May 2018 10:13PM

SINGAPURA: Para menteri mempunyai 'tanggungjawab untuk membuat keputusan muktamad' bagi menimbangkan apa yang betul dan apa yang baik bagi masyarakat dan supaya tidak dipengaruhi oleh golongan minoriti yang lantang bersuara, tegas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (3 Mei).

Berucap di Seminar Pelan Kerja Polis, Encik Shanmugam memberi contoh Akta Ketenteraman Awam dan Keselamatan (Kuasa Khas) (POSSPA) sambil mendedahkan bahawa sesetengah sentimen yang diluahkan online memberikan gambaran seolah-olah terdapat 'banyak tentangan' terhadap akta berkenaan.

Akta yang diluluskan pada Mac lalu itu memberi polis kuasa khas untuk menangani insiden-insiden yang serius seperti serangan pengganas. Sebagai contoh, pihak berkuasa boleh mengarahkan orang ramai di sesebuah kawasan supaya berhenti memetik gambar dan mengongsikan gambar dan video sesuatu insiden yang boleh menjejas operasi keselamatan.

Encik Shanmugam juga yakin bahawa dengan menguatkuasakan POSSPA, ia adalah satu tindakan yang betul, sambil merujuk kepada rusuhan di Britain pada 2011 yang meragut lima nyawa dan mencederakan 205 yang lain, di mana hampir 190 daripada mereka adalah pegawai polis.

"(POSSPA) memberi lebih banyak kuasa kepada polis. Ia mungkin tidak dapat dilaksanakan di kebanyakan negara lain," kata beliau. "(Namun) Saya yakin ia boleh dikuatkuasakan di Singapura kerana rakyat yakin pihak polis akan menggunakan kuasa sedemikian dengan penuh tanggungjawab dan kami memerlukan kuasa sebegini untuk menangani keadaan yang kian berubah-ubah."

Encik Shanmugam turut menarik perhatian bahawa undang-undang yang diusulkan seperti ini semakin ditentang oleh 'golongan minoriti yang walaupun kecil tetapi lantang bersuara.'

"Sesetengah bantahan itu mungkin berprinsip, namun ada juga yang membantah semata-mata untuk menentangnya," tambahnya. "Tanggungjawab saya dalam hal sebegini, sebagai seseorang yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan muktamad adalah untuk menggunakan akal dan kebijaksanaan bagi menentukan mana satu yang betul."

Encik Shanmugam kemudian merujuk kepada tinjauan yang dijalankan oleh unit maklum balas Pemerintah, REACH, yang mendedahkan bahawa 82 peratus rakyat Singapura yang ditinjau bersetuju dengan POSSPA.

Tinjauan itu yang melibatkan 1,039 rakyat dan penduduk tetap mendapati bahawa 76 peratus responden bersetuju bahawa POSSPA perlu bagi membolehkan pihak polis menangani insiden-insiden keselamatan dengan berkesan, sementara 67 peratus pula berpendapat bahawa ia memang sesuatu yang masuk akal bagi pihak polis diberi kuasa untuk melarang orang ramai daripada mengambil atau berkongsi gambar atau video operasi keselamatan yang sedang dijalankan. 

KEPERCAYAAN AWAM PENTING, KATA SHANMUGAM

Dalam ucapannya kepada sekitar 1,000 tetamu termasuk pegawai polis dan rakan masyarakat, Encik Shanmugam menegaskan bahawa kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap polis, Pemerintah dan sistem keadilan negara ini menjadi asas penting dalam mewujudkan tunggak keselamatan yang berkesan.

"Kita dapat melihat bagaimana kepercayaan terhadap pihak polis begitu rapuh di kebanyakan negara. Apabila perkara seperti itu berlaku, undang-undang dan peraturan juga tergugat," kata beliau. "Kita bernasib baik kerana rakyat meyakini sistem, sekaligus membolehkan pihak polis untuk bertindak dengan berkesan."

"Mujur perkara seperti itu tidak berlaku di sini. Tiada satu masyarakat di sini yang merasakan seolah-olah diri mereka dijadikan sasaran atau ditindas oleh pihak polis dan ini kerana pasukan polis kita bebas daripada rasuah, berdisiplin dalam menjalankan tugas dan tegas menguatkuasakan undang-undang walaupun jika ia melibatkan rakyat negara ini sendiri". 

KEPERCAYAAN ANTARA POLIS, KEMPIMPINAN POLITIK

Encik Shanmugam juga menekankan pentingnya kepercayaan antara polis dengan para menteri dalam menghadapi 'keadaan sukar' dan menggubal undang-undang yang dianggap perlu dan wajar.

Kebertanggungjawapan dan tanggungjawab terhadap orang ramai terletak di atas bahu para menteri, kata Encik Shanmugam.

"Ini perlu diterangkan dengan jelas. Ini supaya anda dapat menjalankan tugas anda dengan penuh keyakinan dan tanpa ragu-ragu terhadap sistem kita. Selebihnya, serahkan kepada kami dan percaya kepada kami untuk menjawab soalan dan melindungi anda daripada serangan politik."

Encik Shanmugam menegaskan dalam kenyataannya bahawa kementerian beliau bertanggungjawab ke atas protokol yang ditetapkan: "Akhirnya, ia menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang menteri. Ia bukan tanggungjawab seorang pegawai polis, tanggungjawab mereka adalah untuk bertindak mengikut protokol yang ditetapkan. Jika terdapat isu pada protokol, ia menjadi tanggungjawab saya, jangan serang pegawai polis yang tidak dapat mempertahankan diri mereka. Mereka sedang menjalankan tugas mereka dalam keadaan yang sukar dan mencabar setiap hari." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan