Images

Mengubah botol plastik menjadi aerogel bagi tangani masalah sisa plastik

SINGAPURA: Huraian baru bagi menangani masalah sisa plastik berjaya ditemui.

Para penyelidik di Universiti Nasional Singapura (NUS) sudah menghasilkan cara baru untuk mengubah botol-botol plastik menjadi bahan yang boleh menyerap gas toksik.

Bahan PET Aerogel itu juga sekurang-kurangnya 10 kali lebih murah berbanding bahan penyerap komersil yang ada sekarang.

Botol plastik biasa, jika melalui mesin teknologi tinggi, boleh bertukar menjadi sekelompok serat kapas.

Para penyelidik di NUS mencampurkan serat tersebut dengan kimia dan dengan teknologi pengasingan, ia berjaya menghasilkan bahan seperti span dipanggil PET Aerogel.

Apabila diselaputi kimia yang berasal dari amonia, bahan itu boleh menyerap gas toksik dan debu di udara.

Para penyelidik mengatakan aerogel boleh disapukan pada lapisan dalam pelitup biasa, lantas tidak perlu lagi pelitup yang besar.

Ia juga sehingga tujuh kali lebih berkesan berbanding bahan penyerap komersil yang ada sekarang. Oleh itu, ia boleh digunakan juga untuk membersihkan tumpahan minyak.

Usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan lesen bagi teknologi ini. Para penyelidik menjangka dapat memasarkan teknologi baru ini dalam masa lima tahun. 

- CNA/MM/ai

Top