Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengapa perlu periksa pendakwah asing dan apakah langkah seterusnya?

Reputasi dan populariti pendakwah asing memberikan mereka kewibawaan dan prestij apabila berucap kepada para hadirin secara langsung di sini, kata pakar antropologi Dr Lai Ah Eng, seorang penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang sudahpun mengarang beberapa buku tentang agama.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa perlu periksa pendakwah asing dan apakah langkah seterusnya?

Pendakwah Kristian Lou Engle berucap di Singapura pada 13 Mac 2018. (Gambar: Kingdom Invasion Singapore/Facebook)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 10:02AM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 10:18AM

SINGAPURA: Reputasi dan populariti pendakwah asing memberikan mereka kewibawaan dan prestij apabila berucap kepada para hadirin secara langsung di sini, kata pakar antropologi Dr Lai Ah Eng, seorang penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang sudahpun mengarang beberapa buku tentang agama.

Namun, untuk menyampaikan ceramah di Singapura, mereka harus diperiksa oleh pemerintah terlebih dahulu. Ini adalah proses yang menarik perhatian ramai baru-baru ini menyusuli komen-komen anti-Islam yang didakwa dibuat oleh Encik Lou Engle, seorang penceramah Kristian dari Amerika Syarikat.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang menyiasat insiden tersebut dan pihak polis Singapura sudapun memintanya kembali ke Singapura untuk memberi keterangan. Dalam pada itu, Gereja Masyarakat Cornerstone yang mengundang Encik Engle ke sini sudah meminta maaf kepada pemimpin Muslim tempatan dan berikrar tidak akan mengundangnya lagi.

Pendakwah asing yang ingin menyampaikan ceramah di Singapura harus mendapatkan pas Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang akan mendapatkan maklum balas agensi-agensi relevan sebelum meluluskannya, menurut MHA.

“Dari perspektif keselamatan, MHA antara lain akan menilai sama ada pendakwah asing itu pernah mencetuskan kesan negatif berhubung keselamatan atau dikenali dengan ajaran-ajaran radikal, misalnya dengan menggalak keganasan atau ajaran-ajaran yang memecahbelahkan dan memudaratkan masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura,” demikian menurut MHA kepada Mediacorp.

HARUSKAH PERATURAN DIKETATKAN?

Dr Lai menyarankan ruang untuk mengetatkan lagi proses sedemikian. “Ia bukan pasaran bebas bagi idea-idea untuk membuat pilihan sama ada untuk mengundang seseorang pendakwah ataupun tidak atau menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran,” katanya.

MHA turut menyatakan bahawa selain penilaian daripada pelbagai agensi, makluman juga mungkin diberikan kepada pendakwah asing melalui badan-badan yang mengundang mereka, sebagai satu peringatan.

Sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang, pendakwah asing itu tertakluk di bawah Akta Menjaga Keharmonian Agama, Akta Hasutan atau Kanun Jenayah. Mereka juga mungkin diharamkan daripada memasuki Singapura pada masa akan datang.

Kementerian itu selanjutnya menyatakan: “Pemerintah secara kerap mendampingi para pemimpin agama tempatan dan anggota masyarakat pelbagai agama … secara amnya untuk memupuk keharmonian dan persefahaman silang agama dan perkara-perkara mengenainya yang memerlukan perhatian.”

Ini turut disokong oleh Dr Lai yang menekankan pentingnya para individu berfikir dan bertindak secara kritikal. Namun, beliau menyarankan, sekiranya proses pemeriksaan masih lemah, MHA mungkin harus “memantau secara langsung” ucapan-ucapan berbentuk agama.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan