Images
  • students school generic
    (Gambar fail: TODAY) 

Mengajar semua pelajar ilmu pertahankan diri boleh bawa risiko lebih tinggi

SINGAPURA: Mengajar semua pelajar ilmu mempertahankan diri mungkin akan menggalak sesetengah pelajar untuk mempertahankan diri secara fizikal sebagai tindak balas kepada serangan fizikal.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim pada Isnin (13 Sep).

Encik Zhulkarnain bertanya sama ada Kementerian Pendidikan (MOE) boleh mempertimbangkan agar kelas-kelas ilmu mempertahankan diri boleh disertakan dalam kurikulum pendidikan jasmani bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah.

Ini termasuk strategi-strategi bagi mencegah keganasan serta strategi-strategi bagi penilaian risiko dan meredakan konflik bagi mengelak serangan.

MUNGKIN GALAK PELAJAR PERTAHANKAN DIRI SECARA FIZIKAL

Encik Chan menjelaskan bahawa kelas-kelas mempertahankan diri tidak disertakan dalam kurikulum pendidikan jasmani sekarang ini.

Menurutnya, mengajar semua pelajar ilmu mempertahankan diri mungkin menggalak sesetengah pelajar untuk mempertahankan diri mereka secara fizikal sebagai tindak balas kepada serangan fizikal.

Dalam hal tersebut kata Encik Chan, mungkin boleh memberi risiko lebih tinggi kepada para pelajar, walaupun mereka sudah sedikit sebanyak meraih kemahiran seni mempertahankan diri.

DIDIDIK ELAK KONFRONTASI FIZIKAL, AMALKAN "LARI-SEMBUNYI-BERITAHU"

Encik Chan turut menarik perhatian bahawa keselamatan dan kesejahteraan semua pelajar merupakan keutamaan MOE.

Malah pendekatan MOE terhadap konfrontasi fizikal adalah untuk meredakan konflik atau lari mendapatkan bantuan.

Maka itu, para pelajar diajar menggunakan respons "Lari-Sembunyi-Beritahu" untuk cepat-cepat beredar daripada bahaya, bersembunyi dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang bahaya itu.

Namun demikian, para pelajar yang berminat untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri boleh berbuat demikian menerusi kegiatan luar darjah atau mendaftar ke dalam program-program masyarakat.  

- BERITAmediacorp/im

Top