Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengajar pelajar bagaimana kesan berita palsu

Program dan pelajaran mengenai kemahiran untuk menentu, menilai dan menggunakan maklumat atau 'celik maklumat' semakin relevan dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan di Parlimen bagi meneliti masalah kepalsuan online yang disengajakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengajar pelajar bagaimana kesan berita palsu

Guru Sekolah Menengah Sembawang, Encik Puah You Kai, sedang mengajar para pelajarnya tentang berita palsu. (Gambar: Lianne Chia)

Diterbitkan : 25 Feb 2018 09:20AM Dikemas Kini : 25 Feb 2018 09:27AM

SINGAPURA: Program dan pelajaran mengenai kemahiran untuk menentu, menilai dan menggunakan maklumat atau 'celik maklumat' semakin relevan dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan di Parlimen bagi meneliti masalah kepalsuan online yang disengajakan.

Jawatankuasa berkenaan telah membuat pelawaan terbuka kepada pihak-pihak berkepentingan untuk memberi pandangan mereka dan orang ramai diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk menyumbang saranan mereka. Sekolah-sekolah di seluruh dunia juga semakin mendapat perhatian kerana usahanya mengajar para pelajar tentang bagaimana untuk mengesan berita palsu online.

PANDUAN CARI MAKLUMAT MENJANGKAUI KURIKULUM

Pelajar yang celik maklumat boleh mengesan kesahihan maklumat digital dan program untuk membantu mereka memiliki kemahiran itu “diselitkan dalam pelbagai matapelajaran akademik” seperti Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Sosial, demikian dinyatakan Kementerian Pendidikan (MOE) kepada Mediacorp.

Ia juga diajar dalam sukatan pelajaran kesejahteraan siber bagi sekolah rendah dan menengah sebagai sebahagian daripada kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan.

Menurut MOE, rangka kerja kesejahteraan sibernya dilaksanakan sejak 2008 dan ia memberi panduan kepada sekolah-sekolah dalam merancang dan melaksanakan program-program kesejahteraan siber.

“Rangka kerja tersebut, dalam membantu para pelajar menjadi pelajar digital yang bertanggungjawab, mahu membangunkan naluri mereka untuk melindungi diri dan memperkasa rasa tanggungjawab atas kesejahteraan mereka di alam siber.”

Dalam kelas-kelas tersebut, para pelajar diajar mengenai identiti dan penulisan di online, bagaimana menangani kandungan dan tingkah laku online, yang menurut MOE akan membantu mereka belajar menghormati satu sama lain online, membangunkan pemahaman tentang risiko-risiko kelakuan berbahaya dan terlarang dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri mereka.

Namun, sesetengah sekolah seperti Sekolah Menengah Sembawang melakukan lebih dari itu dan mengutamakan pendidikan tentang berita palsu bagi pelajarnya. Sekolah tersebut menawarkan Program Pembelajaran Gunaan (ALP) dalam celik media yang dilaksanakan pada 2015.

“Kesejahteraan siber tertumpu kepada bahaya melungsuri (wadah) online dan boleh terlalu fokus kepada aspek nilai-nilai seperti pembulian siber,” kata Encik Puah yang merupakan salah seorang anggota yang menjalankan percubaan program tersebut di sekolah berkenaan.

“Namun, kami tidak mahu para pelajar kami hanya menyedari tentang bahaya yang mereka hadapi, kami juga ingin mereka berjaya dan membantu orang lain.”

Maka itu, ALP merangkumi tiga bahagian utama: kemahiran memahami media di mana para pelajar mempelajari bagaimana untuk mengesan fakta daripada cereka, kemahiran menggunakan media seperti membuat poster, penerbitan video dan infografik serta kemahiran digital seperti mempelajari bagaimana untuk menggunakan Google Docs untuk bekerjasama dengan kawan-kawan lain. Ia diadakan bagi semua peringkat dan aliran.

LEBIH BANYAK SEKOLAH MINTA PROGRAM MENGENAI BERITA PALSU

Agensi bukan berasaskan keuntungan, TOUCH Cyber Wellness sudahpun menjalankan program-program kesejahteraan siber bagi sekolah-sekolah sejak 2001.

Meskipun program berkenaan mengajar para pelajar untuk berjaga-jaga dan tidak mempercayai kesemua bahan yang dijumpa online, penolong pengurus agensi tersebut, Encik Shem Yao menarik perhatian bahawa lebih banyak sekolah yang minta untuk memasukkan aspek tentang berita palsu dalam program-programnya baru-baru ini.

“Apabila kami baru-baru bermula, kami banyak menekankan tentang menangani ketagihan bermain permainan video dan kesan-kesannya,” kata beliau. “Ia sudah berubah tahun ke tahun untuk memasukkan ciri-ciri seperti media sosial dan penggunaan platform media sosial yang bertanggungjawab.”

Namun, dengan lebih banyak permintaan daripada sekolah, agensi ini sedang berusaha membangunkan sebuah modul yang dikhususkan untuk mengenalpasti berita palsu. “Kami akan memuktamadkan butir-butinya dalam tempoh satu atau dua bulan mendatang,” kata Encik Yao. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan