Images
  • MENDAKI MiRXES scholarship launch
    (Gambar: Yayasan MENDAKI)

MENDAKI, MiRXES tawar biasiswa bernilai S$140,000

SINGAPURA: Penuntut Melayu/Islam dalam bidang Sains Hayat dan Bioperubatan kini mendapat satu lagi sokongan serta peluang pekerjaan dalam bidang itu, hasil biasiswa yang dilancarkan hari ini (23 Okt) oleh Yayasan MENDAKI dan syarikat bioteknologi MirXES.

Bernilai S$140,000 kesemuanya, Biasiswa MENDAKI-MiRXES itu juga menawarkan peluang latihan industri (internship) dan bekerja dengan syarikat itu setelah tamat pengajian.

Biasiswa peringkat pos siswazah adalah yang pertama ditawarkan MENDAKI dan MiRXES.

Diasaskan pada 2014, MiRXES, yang berpangkalan di Singapura, ialah syarikat diagnostik penyakit utama di peringkat global dan mempunyai operasi di China, Jepun dan Amerika Syarikat. Ia juga menjalankan kegiatan komersil di lebih 45 negara.

Biasiswa MENDAKI-MiRXES akan ditawarkan kepada empat siswa kesemuanya.

Dua mahasiswa akan menerima S$10,000 setahun setiap seorang, selama empat tahun manakala dua penuntut Sarjana pula akan menerima S$15,000 setahun setiap seorang, selama dua tahun. Program biasiswa itu bermula bagi tahun akademik 2022 dan dibuka kepada penuntut di universiti autonomi tempatan.

Selain biasiswa tersebut, MiRXES juga akan bekerjasama dengan MENDAKI untuk menggalak lebih ramai belia dan pekerja dewasa untuk mempertimbangkan kerjaya dalam sektor itu, menurut satu kenyataan bersama kedua-dua pihak pada Sabtu.

Mengalu-alu kerjasama MENDAKI – MIRXES, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad berkata: "MENDAKI berharap dapat menarik lebih banyak rakan industri sedang kami memberi tumpuan kepada biasiswa yang merangkumi elemen bimbingan, latihan kerja dan kerjaya masa depan dalam sektor pertumbuhan seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Penubuhan biasiswa MENDAKI - MIRXES adalah langkah pertama ke arah ini," tambah beliau yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI, dalam kenyataan itu.

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MiRXES, Dr Lihan Zhou, melahirkan rasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan MENDAKI dalam membangunkan bakat generasi hadapan dalam bidang sains hayat dan bioperubatan.

"Kami berharap biasiswa ini yang akan memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dapat menggalakkan kepelbagaian dalam kumpulan bakat tempatan kami dan membolehkan Singapura menjadi masyarakat inklusif," tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, menekankan pentingnya kerjasama dengan badan korporat seperti MiRXES "untuk membantu membuka laluan kepada masyarakat Melayu/Islam meneruskan pendidikan mereka tanpa perlu risau tentang keadaan kewangan dan mendapat peluang kerjaya dalam sektor yang sedang pesat membangun."

Tambah beliau lagi:

"Ini sejajar dengan visi kami untuk memperkasa masyarakat kami ke arah kejayaan dan justeru itu, menghasilkan lebih banyak karyawan Melayu/Islam dalam sektor pesat membangun." 

- BERITAmediacorp/tq

Top