Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI, Dana Barakath lancar biasiswa bantu penuntut ITE, politeknik

Para penuntut Muslim di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik akan dapat memanfaatkan satu skim bantuan baru untuk membiayai yuran sekolah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penuntut Muslim di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik akan dapat memanfaatkan satu skim bantuan baru untuk membiayai yuran sekolah mereka.

Ini selepas Yayasan MENDAKI dan Dana Barakath menjalin satu kerjasama baru bagi dana bernilai S$100,000 untuk menyokong Dana Amanah Pendidikan (ETF) pada Isnin (2 Ogos).

Menerusi Perjanjian Biasiswa Barakath, setiap tahun, lima pelajar ITE akan menerima S$1,000 setiap seorang, manakala lima lagi penuntut Politeknik pula akan mendapat S$1,500 setiap seorang, menurut kenyataan media Yayasan MENDAKI.

Mewakili Dana Barakath, Encik Mashuthoo s/o Abdul Rahiman dan Encik Raja Mohamad Maiden berharap lebih ramai pelajar Muslim akan terus mengecapi kecemerlangan dalam bidang masing-masing dan menyumbang semula kepada masyarakat pada masa akan datang.

"Pendidikan adalah penyamarata sosial yang terbaik dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Dana Amanah Yayasan MENDAKI untuk turut memainkan pernan kami.

"Kami benar-benar mahu melihat anak-anak kita mempunyai akses kepada pembiayaan dana untuk mencapai yang terbaik dalam pendidikan dan kehidupan mereka," kata Encik Mashuthoo.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan MENDAKI Zuraidah Abdullah turut meluahkan penghargaan kepada kedua-dua wakil Dana Barakath itu.

"Kami sememangnya amat gembira dan berbesar hati dapat menubuhkan Biasiswa ini kerana ini bermakna lebih ramai pelajar kita boleh menumpukan perhatian kepada usaha mengejar cita-cita mereka tanpa perlu bimbang tentang kesan terhadap kedudukan kewangan mereka," kata beliau.

Perincian lanjut tentang permohonannya boleh didapatkan di laman MENDAKI.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan