Images
  • students

Mendaki dan AMP 'sangat alu-alukan' pemansuhan sistem aliran Normal dan Ekspres

SINGAPURA: Mendaki dan AMP "sangat mengalu-alukan" langkah Kementerian Pendidikan (MOE) memansuhkan sistem aliran Normal dan Ekspres di sekolah-sekolah menengah.

Ketua Eksekutif Mendaki, Rahayu Buang menyifatkannya sebagai "perubahan yang sangat-sangat dinantikan".

Pengerusi AMP Zhulkarnain Abdul Rahim pula menyifatkannya sebagai langkah "perubahan yang tepat pada masanya" kerana landskap pendidikan Singapura sedang melalui pelbagai perubahan seiring dengan perubahan di peringkat global.

Menjelang 2024, tiada lagi sistem penyaluran kepada aliran Normal atau Ekspres bagi sekolah-sekolah menengah.

Sebaliknya ia akan digantikan dengan sistem 'banding' atau Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) sepenuhnya.

Bagi AMP, ia akur bahawa sistem aliran berkesan kerana berjaya mengurangkan kadar keciciran di sekolah daripada 30 peratus kepada 1 peratus sahaja sekarang - iaitu yang terendah di dunia.

Oleh itu, langkah terbaru MOE ini "tepat" sebagai cara baru untuk mempertingkatkan lagi mutu pendidikan di sini, menurutnya.

Ini kerana sistem baru itu lebih tertumpu kepada keupayaan seseorang pelajar demi mencapai potensi maksimum setiap pelajar.

"Kita harus akur bahawa tidak semua pelajar kita ada kekuatan yang sama dan kita harus iktiraf yang mereka ini patut diberikan dorongan. Bagi kami di AMP pendekatan ini bukan sahaja untuk sekolah merombak pemikiran mereka tetapi ibu bapa dan masyarakat juga," kata Encik Zhulkarnain.

Mendaki pula berpendapat bahawa perubahan-perubahan yang dilakukan MOE itu bersifat holistik dan akan membuka lebih banyak peluang bagi para pelajar Melayu/Islam.

Ini kerana sistem baru nanti mewujudkan ruang lebih luas bagi pelajar untuk menunjukkan potensi sebenar mereka.

"Kita dapati bahawa terutama sekali anak-anak Melayu/Islam kita mempunyai kebolehan yang berbeza dan di peringkat-peringkat yang berbeza. Jadi ini sesuatu perubahan yang sangat dinantikan yang saya rasa memang tiba masanya supaya kita dapat memberi peluang yang lebih kepada anak-anak kita untuk menunjukkan prestasi mereka dan kebolehan mereka di pelbagai subjek yang berbeza, tidak bermakna satu subjek mereka tidak dapat melakukannya dengan baik, mereka adalah pelajar yang lemah," menurut Cik Rahayu Buang.

Namun demikian kata Cik Rahayu, pendekatan lebih fleksibel dan kurang penekanan terhadap peperiksaan misalnya tidak seharusnya membuatkan para ibu bapa memandangkan ringan pencapaian anak-anak di sekolah.

Pelajaran asas yang mantap mesti ada di peringkat sekolah rendah dan Mendaki akan terus beri tumpuan kepada pembinaan asas yang kukuh untuk anak-anak, kata beliau. 

- BERITAmediacorp/na

Top