Images
  • mendaki (2)
    (Gambar: MENDAKI)

MENDAKI dan A*STAR jalin kerjasama jalankan Ujian Kesediaan Sekolah bagi kanak-kanak

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI dan Institut A*STAR bagi Sains Klinikal (SICS) menjalin kerjasama untuk menjalankan Ujian Kesediaan Sekolah bagi kanak-kanak prasekolah.

Kerjasama lima tahun itu melibatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga lima tahun di bawah program KelasMateMatika KMM@CC.

Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI mengumumkan kerjasama itu di luar simposium pendidikan anjuran MENDAKI hari ini (20 Jul).

HASIL UJIAN BANTU MENDAKI PERBAIKI USAHA SEDIA ADA

Di bawah kerjasama yang dimeterai April lalu, kanak-kanak dari program KMM@CC akan menjalani 'Ujian Kesediaan Sekolah' bagi menilai kemahiran mereka mengira dan membaca.

Ujian itu yang menggunakan analisis ramalan juga berupaya mengenal pasti kanak-kanak yang dijangka memerlukan bantuan tambahan dalam persiapan mereka ke peringkat Darjah Satu.

Golongan ibu pula akan menjalani satu soal selidik untuk memahami hubung kait antara kesihatan mental mereka dan kesannya kepada pembangunan anak mereka.

Hasil ujian itu akan membantu MENDAKI menawarkan bantuan-bantuan tambahan yang mungkin diperlukan kanak-kanak dalam menjalani proses peralihan ke sekolah rendah dengan lebih baik lagi.

Menurut Encik Zaqy: "Kita berharap melalui penyelidikan dan penilaian kita dapat melakarkan program-program yang lebih efektif dan memahami sama ada kita harus menukar pedagogi atau kurikulum dari segi apa yang dijalankan di program-program kita."

SOKONGAN IBU BAPA, GURU DAPAT WUJUDKAN PENGALAMAN PERALIHAN SEKOLAH POSITIF

Sokongan ibu bapa bagi membantu proses peralihan kanak-kanak ke sekolah rendah juga dikupas di simposium pendidikan anjuran MENDAKI siang tadi.

Dalam ucap tamanya, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Keperluan Khas di NIE, Dr Hanin Hussain menyentuh bagaimana pengalaman kanak-kanak masuk ke sekolah rendah akan mempengaruhi kehidupannya dari segi pembangunan sosioemosi.

"Peralihan ke Darjah Satu merupakan fasa penting dalam kehidupan kanak-kanak itu kerana kanak-kanak mengalami perubahan besar. Jadi bagi memastikan kanak-kanak itu berasa selesa dan dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman pembelajaran mereka di sekolah, ia amat berguna dan penting bagi ibu bapa dan guru di prasekolah dan sekolah rendah membantu mereka dalam peralihan itu," kata Dr Hanin.

Pandangan yang sama diutarakan Cik Fuziah Taha, yang berpengalaman 47 tahun dalam bidang pendidikan.

Beliau yang juga seorang mantan pengetua berkata: " Peralihan kanak-kanak dari prasekolah ke sekolah rendah boleh menyebabkan kegelisahan dan jika sekolah rendah tidak bersedia untuk menangani kegelisahan ini, mungkin kanak-kanak ini akan menghadapi kepayahan untuk mengikuti kurikulum di sekolah rendah.

"Jadi guru-guru, pengetua sekolah, ibu bapa harus menangani kegelisahan ini dengan membuat persediaan yang cukup bagi membantu anak-anak membuat peralihan ini ke sekolah rendah."

Seramai 300 peserta terdiri daripada golongan karyawan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak menyertai simposium yang bertajuk "Tahun Peralihan: Memastikan Permulaan Positif ke Sekolah."

- BERITAmediacorp/na

Top