Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI akan gandakan jumlah peserta program 'Maths Coaching'

Kesemua 70 murid yang Melayu yang lemah matematik dan mengikuti program perintis 'Maths Coaching', meraih sekurang-kurangnya gred "C" atau lebih baik dalam peperiksaan PSLE tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemua 70 murid yang Melayu yang lemah matematik dan mengikuti program perintis 'Maths Coaching', meraih sekurang-kurangnya gred "C" atau lebih baik dalam peperiksaan PSLE tahun lalu.

Lebih membanggakan, 10 peratus daripada mereka mendapat gred "A".

Ekoran kejayaan memberangsangkan itu, Yayasan MENDAKI kini mahu menggandakan jumlah peserta 'Maths Coaching' itu.

Tahun lalu, Dany Effendi Rosli, 13 tahun perlu menduduki PSLE.

Beliau berminat dengan mata pelajaran matematik tetapi sering gagal mendapat markah yang baik dalam ujian atau peperiksaan.

"Saya suka matematik dan sains dan saya tidak mahu gagal dalam mata pelajaran kegemaran saya. Cikgu saya kata kalau saya gagal dalam matematik, saya harus mengulangi Darjah 6. Saya takut," kata peserta Program Bimbingan Matematik Mendaki, Dany Effendi Rosli.

Dany dalam kalangan 70 murid Darjah Enam yang dipilih menyertai program bimbingan tambahan "Maths Coaching" tahun lalu.

Program perintis itu merupakan satu daripada lima saranan utama untuk memperbaiki Skim Tusiyen Mendaki (MTS).

Ia khaskan untuk peserta MTS yang lemah dalam matematik di mana satu atau dua murid digandingkan dengan seorang pembimbing.

Mereka antara lain diajar bagaimana untuk memahami dan cara-cara terbaik menghuraikan soalan-soalan serta mengurus masa dengan cekap sewaktu peperiksaan.

"Pada mulanya apabila dia datang, dia penuh dengan kebimbangan dan kurang keyakinan. Jadi apa kita buat, kita bantu dia cuba fahami soalan itu, macam mana cara-cara yang harus digunakan untuk menjawab soalan-soalan yang susah," kta pembimbing program, Kamariah Abdul Rashid.

Kerja keras mereka akhirnya berbaloi apabila Dany mendapat keputusan cemerlang dalam PSLE.

"Saya gembira, Emak saya menangis pasal saya dapat "A" yang pertama sejak Darjah Tiga," kata Dany.

"Kita tidak jangka yang dia akan mendapat "A". Matlamat kita adalah untuk dia lulus sekurang-kurang dapat "C" atau "B"," kata Puan Kamariah.

Dany kini mengikuti kelas matematik Ekspres di Menengah Satu di bawah sistem pengumpulan berdasar subjek (SBB) di Sekolah Menengah Bedok View.

Berdasarkan kejayaan program itu, fasa kedua akan diluaskan kepada 150 murid, iaitu peningkatan lebih seganda.

Satu lagi saranan kepada Skim MTS adalah menyusun semula pusat-pusat tuisyen kepada beberapa kelompok, dengan setiap kelompok diselia seorang pengetua.

"Matlamat pengetua kelompok atau "cluster principles" ini adalah untuk memastikan bahawa mutu pengajaran dan teknik mengajar untuk tutor-tutor kami.

"Bukan sahaja tutor tetapi juga pengendali Skim Tuisyen Mendaki akan dinaik taraf dari segi teknik pengajaran dan juga dari segi pengurus tadbir," kata Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan Mendaki, Sabrena Abdullah.

Ia akan dimulakan pada pertengahan tahun ini dan melibatkan tiga pusat MTS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan