Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI akan beri fokus, bantuan lebih besar kepada pendidikan prasekolah

MENDAKI akan memberikan fokus dan bantuan yang lebih besar terhadap pendidikan prasekolah pula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: MENDAKI akan memberikan fokus dan bantuan yang lebih besar terhadap pendidikan prasekolah pula.

Ini memandangkan prestasi pelajar Melayu/Islam di peringkat pos menengah saban tahun sudah semakin memberangsangkan.

Menteri Negara Pembangunan Negara dan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad berkongsi hala tuju MENDAKI itu di majlis dialog yang dianjurkan buat pertama kalinya bersama Institut Kajian Dasar (IPS).

Majlis dialog itu bertajuk “Maju Sebagai Masyarakat: Mendidik Belia Melayu/Muslim bagi Masa Depan”.

Sesi dialog dengan kolaborasi pertama bersama IPS. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

PENINGKATAN JUMLAH POS MENENGAH MENINGKAT 57%

Mengulas aspek pendidikan posmenengah, Encik Zaqy berkata masyarakat Melayu/Islam Singapura sudah mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan, dan salah satu faktor utama menyumbang kepada pencapaian itu ialah ruang dan peluang yang disediakan MENDAKI, menerusi pelbagai program dan skim bantuan.

Memetik data Kementerian Pendidikan (MOE) beliau, yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI, berkata jumlah kohort darjah 1 yang melangkah ke peringkat pos menengah melonjak 57% sejak 28 tahun dahulu.

Pada tahun 1990 misalnya, hanya 36% pelajar Melayu yang melangkah ke peringkat posmenengah, berbanding 93.5% pada tahun lalu.

Prestasi lebih baik ini, kata Encik Zaqy, merangsang masyarakat Melayu/Islam untuk mengecap kejayaan yang lebih tinggi.

Ini juga turut bermakna masyarakat Melayu/Islam tidak boleh mengambil sambil lewa terhadap kejayaan dalam aspek pendidikan itu, sebaliknya pencapaian tersebut perlu diambil sebagai "suatu garis asas" bagi masyarakat Melayu di sini, jelas Encik Zaqy.

Bagi mencapai objektif, MENDAKI, kata Encik Zaqy, berikrar untuk mendekati dan mendampingi golongan Melayu/Islam dengan lebih dekat lagi.

"Apa yang kita lakukan hari ini itu penting, di mana kita juga mahu melihat pembangunan belia kita segi cara holistik dan bukan secara akademik sahaja.

"Jadi kita menampilkan strategi MENDAKI dalam bagaimana kita ingin mendekati belia-belia pada masa yang sama, kita juga membawa program-program untuk melibatkan mereka supaya mereka dapat berkecimpung dalam masyarakat dan melibatkan diri dalam aspek dan isu yang mungkin membawa kesan dalam masyarakat dan juga negara," tekan beliau.

PERALIHAN TUMPUAN KEPADA PRASEKOLAH

Memandang ke depan, Encik Zaqy berkongsi bahawa lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada isu pendidikan prasekolah.

"Kita juga mahu membawa program-program MENDAKI mengikuti isu-isu terkini, pertama sekali bagaimana kita mempunyai program-program prasekolah.

"Ini memang satu arena yang baru bagi MENDAKI, di mana kita selalunya pada masa yang lalu, hanya melibatkan diri dalam pendidikan dari segi sekolah rendah dan sebagainya. Hari ini, kita mempunyai program-program prasekolah, program-program untuk membawa keluarga dan ibu bapa untuk memahami, aspek pendidikan anak-anak mereka dan saya rasa ini amat penting kita keluar dari zon selesa kita," tekan Encik Zaqy.

Fokus terhadap pendidikan prasekolah juga seiring dengan keprihatinan Pemerintah untuk mengurangkan jurang dari segi menawarkan permulaan pendidikan dan pembangunan awal yang baik untuk kanak-kanak.

"Sekian lamanya sejak penubuhan MENDAKI, kami punya fokus memang selalu dalam pendidikan sekolah rendah dan pendidikan sekolah menengah.

"Lingkungan umur bayi hingga 6 tahun adalah lingkungan umur terbaik untuk pembangunan awal dalam pendidikan. Jadi, sejak berapa tahun ini MENDAKI akan berikan lebih banyak fokus kepada isu siap sekolah," kongsi Cik Aidaroyani Adam, Timbalan CEO MENDAKI.

Antara program perintis di bawah kendalian MENDAKI, MESRA, dan MUIS (M³) ialah KelasMatematika, yang mengajar teknik asas subjek Matematik serta kemahiran pembelajaran lain kepada kanak-kanak sekolah.

BELIA MELAYU KURANG KEYAKINAN DIRI

Turut dibincangkan dalam sesi tersebut ialah huraian dan pelan strategik terbaik terhadap dasar-dasar pendidikan. Salah satu dapatan yang dibentangkan termasuk kepentingan pelibatan aktif dalam pembangunan kanak-kanak.

Pengurus Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Perancangan MENDAKI, Encik Faisal Aman misalnya mendapati bagaimana taraf pendidikan ibu bapa memberi kesan terhadap keyakinan belia Melayu/Islam di sini.

Menurutnya, belia Melayu di sini kurang keyakinan diri berbanding dengan kaum Cina.

"Kami mendapati bahawa pengukur anak-anak Melayu dari segi keyakinan diri adalah ibu bapa.

"Jadi ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak-anak kita dengan memberikan pendapat dan nasihat yang munasabah kepada mereka," tekan beliau.

Sesi itu disertai 40 peserta yang termasuk golongan belia, karyawan dan akademik.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan