Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mencipta semula S'pura: Selepas Jewel, 5 lagi projek besar akan dilancar

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata bahawa Jewel Lapangan Terbang Changi "hanya salah satu daripada banyak lagi perkara yang ingin kami lakukan untuk mencipta semula bandar kita".

Anggaran Waktu Membaca:
Mencipta semula S'pura: Selepas Jewel, 5 lagi projek besar akan dilancar

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 09 Aug 2019 03:26PM Dikemas Kini : 09 Aug 2019 03:31PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata bahawa Jewel Lapangan Terbang Changi "hanya salah satu daripada banyak lagi perkara yang ingin kami lakukan untuk mencipta semula bandar kita". Beliau berkata demikian dalam Amanat Hari Kebangsaannya pada Khamis (8 Ogos).

Projek-projek lain termasuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Tuas Megaport, Daerah Tasik Jurong, pembangunan semula Pangkalan Udara Paya Lebar dan Greater Southern Waterfront.

Berikut adalah maklumat lanjut mengenai projek-projek tersebut dan bagaimana, apabila selesai kelak, ia akan memanfaatkan rakyat Singapura.

1. TERMINAL 5 LAPANGAN TERBANG CHANGI

Tidak seperti terminal-terminal biasa, T5 bakal menjadi ‘game changer’ atau pengubah keadaan dari segi daya saing Singapura sebagai sebuah hab udara.

Terminal itu sedang dibina di tapak seluas 1,000 hektar, hampir sama dengan saiz bandar baru Tampines atau 2.5 kali saiz Marina Bay.

Apabila selesai menjelang 2030, terminal itu akan meningkatkan kapasiti tahunan Changi sebanyak 50 juta pada awalnya dan sehingga 70 juta penumpang jika perlu, yang bermakna Changi berpotensi memberi perkhidmatan kepada seramai 150 juta penumpang setiap tahun, berbanding 82 juta penumpang buat masa ini.

2. PELABUHAN MEGA TUAS

Masa depan sektor maritim Singapura mungkin bergantung kepada pelabuhuan mega Tuas, yang bakal dibuka secara bertahap-tahap bermula 2021 dan seganda saiz bandar Ang Mo Kio.

Pelabuhan itu akan mempunyai kapasiti untuk menampung 65 juta unit kargo berukuran 20 kaki setiap satu (TEU) - lebih daripada 50 juta TEU yang boleh ditampung setiap tahun oleh terminal-terminal sedia ada buat masa ini.

Terminal itu juga akan memanfaatkan sistem automasi, yang sekaligus penting untuk para pelanggan yang menginginkan perkhidmatan yang lebih pantas dan membantu Singapura kekal berdaya saing, terutamanya kerana negara-negagra di rantau ini membuat banyak pelaburan dalam keupayaan pelabuhan masing-masing.

3. DAERAH TASIK JURONG CBD KEDUA

Apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran anda mengenai Jurong?

Daerah Tasik Jurong akan "mengubah minda orang ramai mengenai Jurong", menurut ketua eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Encik Keith Tan.

Menjelang 2026, ia akan mempunyai pembangunan pelancongan bersepadu yang dilengkapi dengan pelbagai daya tarikan, hotel-hotel dan kegiatan gaya hidup yang lain.

Apabila kawasan seluas 360 hektar itu selesai dibina selepas 2040, lebih 100,000 pekerjaan baru dan 20,000 rumah akan ditawarkan.

4. LEBIH BANYAK RUANG UNTUK RUMAH, TAMAN DENGAN PEMINDAHAN PANGKALAN UDARA PAYA LEBAR

Lebih banyak rumah, pejabat, kilang dan taman - anda boleh menjangkakan semua ini apabila Pangkalan Udara Paya Lebar berpindah ke Pangkalan Udara Tengah yang diperluaskan.

Ruang yang dikosongkan itu adalah seluas lima bandar Toa Payoh, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

URA merancang untuk membangunkan "bandar yang amat selesa didiami dan mampan" di samping mengekalkan kekayaan warisan penerbangannya.

5. PEMBANGUNAN GREATER SOUTHERN WATERFRONT
Pembinaan projek Greater Southern Waterfront akan mengambil alih ruang yang dikosongkan setelah pelabuhan Tanjong Pagar berpindah ke pelabuhan mega Tuas.

Ia diramal memulakan operasi pada 2030, tetapi ramai yang tidak sabar menantikannya. Pada 2018, pihak berkuasa mengumumkan rancangan untuk menyepadukan Sentosa dengan Southern Waterfront dan membangunkan Pulau Brani. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan