Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Memperingati 200 tahun: PM Lee ajak rakyat terus bina negara

Acara memperingati dwiabad Singapura yang bermula malam ini (28 Jan) memperingati ketibaan orang-orang Inggeris terutamanya, Sir Stamford Raffles ke Singapura pada hari ini tahun 1819.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jan 2019 08:44PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 08:59PM

SINGAPURA: Acara memperingati dwiabad Singapura yang bermula malam ini (28 Jan) memperingati ketibaan orang-orang Inggeris terutamanya, Sir Stamford Raffles ke Singapura pada hari ini tahun 1819.

Namun ia juga mengimbas semula sejarah Singapura sejak lebih 700 tahun lalu apabila Sang Nila Utama menjejakkan kakinya di pulau ini.

Pelbagai acara dan kegiatan diadakan bagi sambutan selama setahun itu dan salah satunya adalah acara tahunan iLight Singapore yang dilancarkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Tahun ini, acara penataan cahaya akan tertumpu kepada sejarah Singapura, sempena memperingati dwiabad Singapura.

Selain Daerah Sivik, pertunjukan cahaya juga akan diadakan di Sungai Singapura dan Taman Fort Canning. Antaranya adalah karya "Sayang Di Sayang" yang menceritakan kisah Allahyarham Zubir Said, penggubah lagu Kebangsaan Singapura. Aplikasi bijak Lembaga Warisan Negara (NHB), "BalikSG", juga bakal dilancarkan.

1819 TITIK BERSEJARAH S'PURA

Dalam ucapannya semasa acara pelancaran hari ini (28 Jan) PM Lee turut mengimbas kembali sejarah Singapura sejak lebih 700 tahun lalu apabila Sang Nila Utama mendarat di pulau ini.

Beliau turut menyebut tentang sumbangan tokoh-tokoh perintis yang berjaya menjadikan Singapura sebagai sebuah negara moden.

(Gambar: Jeremy Long)

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat daripada setiap generasi supaya terus membangunkan negara demi masa depan Singapura dan penduduknya.

"Tanpa 1819, kita tidak mungkin berada di landasan kemerdekaan seperti mana yang kita tahu hari ini. Tanpa 1819, kita tidak mungkin ada 1965 dan pasti kita tidak meraikan kejayaan SG50 tiga tahun lalu. 1819 menjayakan ini semua. Itulah sebabnya mengapa Dwiabad Singapura harus diraikan," kata PM Lee.

"Kita tidak hanya saja memperingati Sir Stamford Raffles atau William Farquhar walaupun kita perlu. Kita menjejaki dan merenungkan sejarah kita yang jauh lebih lama sebelum 1965. Kita akur dan menghargai konteks yang lebih luas dalam membentuk dan mewujudkan Singapura hari ini. Ini adalah perjalanan kita dari Singapura kepada setiap rakyatnya," tambah beliau.

TERUS UKIR SEJARAH BAGI GENERASI AKAN DATANG

Di samping itu, PM Lee juga melahirkan penghargaan beliau kepada kumpulan dan pertubuhan yang terlibat dalam acara-acara memperingati 200 tahun ini.

Beliau berharap kegiatan-kegiatan itu semua dapat menarik minat rakyat Singapura untuk mengenali lebih mendalam diri mereka sendiri dan sejarah negara.

"Saya gembira bagi Dwiabad ini, lebih 200 kumpulan dan pertubuhan mengadakan acara memperingatinya. Kisah dan perjalanan mereka adalah pengalaman dan kenangan insan yang menghidupkan kisah Dwiabad Singapura. Saya berharap kegiatan-kegiatan ini akan menarik minat rakyat Singapura untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang diri mereka dan sejarah kita," jelas PM Lee.

PM selanjutnya mengajak orang ramai supaya memikirkan bagaimana untuk terus memajukan Singapura dan membina negara sedang rakyat memperingati Dwiabad negara.

"Ia adalah tugas setiap generasi untuk terus membina (negara) untuk generasi masa depan kita supaya pada 50 atau 100 tahun lagi, rakyat Singapura yang belum dilahirkan dapat mengenali Kisah Singapura yang kaya dan hebat - kisah yang kita menulis bersama."  

Sumber : CNA/RU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan