Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Memori, persahabatan di Pasir Panjang Road kekal meski hampir 40 tahun lalu

“Cikgu, boleh telan air liur bila puasa?” Cik Adidah Joha, 61 tahun masih lagi ingat soalan yang beliau ajukan kepada cikgunya itu waktu di bangku sekolah ketika baru berjinak-jinak berpuasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Memori, persahabatan di Pasir Panjang Road kekal meski hampir 40 tahun lalu

Gambar-gambar lama sewaktu Kamisah Yusoff, Adidah Joha dan Zainon Ismail bersekolah di Sekolah Batu Berlayar dan kemudian di Sekolah Menengah Pasir Panjang.

SINGAPURA: “Cikgu, boleh telan air liur bila puasa?”

Cik Adidah Joha, 61 tahun masih lagi ingat soalan yang beliau ajukan kepada cikgunya itu waktu di bangku sekolah ketika baru berjinak-jinak berpuasa.

Bekas pelajar Sekolah Batu Berlayar itu membawa beg plastik ke sana sini untuk meludah kerana takut batal puasa jika menelan air liur!

#BERITAjelajah bertemu Cik Adidah bersama dua teman sekolah lamanya ketika meneroka laluan Taman Pasir Panjang, yang dijangka dibuka mulai tahun depan.

CEBISAN SEJARAH PASIR PANJANG

Dibuka pada tahun 1950-an hingga 1982, Sekolah Batu Berlayar adalah salah satu daripada kelompok sekolah yang pernah beroperasi di Pasir Panjang Road.

Bangunan ini pernah menempatkan Sekolah Batu Berlayar suatu ketika dahulu. 

Bersebelahannya pula, Sekolah Rendah Labrador yang ditutup pada 1989 dan Sekolah Menengah Pasir Panjang pada 1996.

Terletak antara Jalan Mat Jambol dan Jalan Yew Siang, adalah bekas Sekolah Rendah Pasir Panjang, salah satu sekolah pertama yang ditubuhkan di Pasir Panjang.

Ia bermula sebagai Sekolah Inggeris Pasir Panjang, satu percubaan yang dicadangkan oleh kerajaan Inggeris untuk mempunyai campuran murid lelaki dan perempuan yang belajar di sekolah rendah yang sama.

Pada tahun-tahun 1950-an 1960-an, Sekolah Rendah Pasir Panjang menghasilkan banyak pelajar yang cemerlang.

Antara yang dikenali ramai termasuk Encik Goh Chok Tong, Perdana Menteri Singapura yang kedua (1990-2004) dan Dr Tan Eng Liang, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara (1975-1978).

Semua sekolah itu berhenti beroperasi apabila bilangan pelajarnya yang semakin berkurangan.

Menjelang 2021, kawasan tersebut akan menjadi sebahagian daripada Taman Pasir Panjang yang antara tumpuannya adalah menerapkan unsur sejarah dan ciri semula jadi kawasan Pasir Panjang.

Lakaran artis menunjukkan Taman Pasir Panjang yang dijadual dibuka secara bertahap-tahap mulai 2021. (Gambar: NParks)

Gambaran Taman Pasir Panjang yang bakal dibuka secara berperingkat mulai tahun depan. 

Para pengunjung boleh menyusuri sejarah Pasir Panjang menerusi artefak dan program-program masyarakat yang bakal dianjurkan.

Sebelum kerja-kerja dijalankan sepenuhnya, #BERITAjelajah menemui Cik Adidah, Cik Kamisah Yusoff dan Cik Zainon Ismail - tiga sekawan yang pernah menuntut ilmu di situ.

Kamisah Yusoff (kiri), Zainon Ismail (tengah) dan Adidah Joha (kanan) sudah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. (Gambar ihsan: Shahrizam Shariff)

Selain cabaran berpuasa, Cik Kamisah Yusoff, 61 tahun yang juga bekas penduduk Pasir Panjang Powerstation seronok mengimbau acara-acara Hari Sukan yang berlangsung setiap tahun.

Kamisah Yusoff ketika di Sekolah Batu Berlayar pada 1966. 

“Saya paling ingat Hari Sukan, masa latihan. Saya dulu ambil bahagian dalam lompat jauh dan lompat tinggi. Hadiahnya kapur kasut, kotak pensel. Tidak ada pingat!” seloroh beliau yang berkawan dengan Cik Adidah sejak darjah satu pada tahun 1966.

BERSAHABAT DEK KELUARGA

Selepas tamat sekolah rendah, Cik Adidah dan Cik Kamisah kemudian bertemu Cik Zainon di Sekolah Menengah Pasir Panjang pula.

Buku tahunan Sekolah Menengah Pasir Panjang yang masih disimpan tiga sekawan itu hingga hari ini. 

Menariknya, sepanjang hampir 40 tahun, selepas tamat sekolah, mereka terus menjalin persahabatan erat.

Bahkan, mereka juga giat mengadakan sesi-sesi perjumpaan bersama rakan-rakan lain dengan bantuan syarikat penganjur acara milik anak Cik Kamisah, Qhazam Production.

Salah satu daripada sesi perjumpaan yang dianjurkan pada 2012. (Gambar ihsan: Shahrizam Shariff)

Merumus rahsia di sebalik persahabatan mereka yang berkekalan sehingga hari ini, Cik Zainon yang juga berusia 61 tahun berkata:

“Meskipun lebih muda atau lebih tua, kita memang sering berkumpul. Satu hati, walau dalam kesedihan, kegembiraan. Kita selalu pergi majlis orang kahwin. Orang sakit-sakit kita ziarah. Orang meninggal kita ziarah. Kita seperti satu keluarga.”

Mesra dengan jolokan 'The Three Angels', merekalah 'orang kuat' di sebalik beberapa sesi perjumpaan yang diadakan. (Gambar ihsan: Shahrizam Shariff)

Ikuti laporan lain #BERITAjelajah: 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan