Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Membenarkan kugiran Watain adakan konsert di S'pura akan jejas keharmonian agama dan sosial, kata Shanmugam

Membenarkan kumpulan muzik 'black metal' dari Sweden, Watain, untuk mengadakan konsert di Singapura akan melanggar "kepentingan ketenteraman awam serta menjejas keharmonian agama dan sosial kita," kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (7 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Membenarkan kugiran Watain adakan konsert di S'pura akan jejas keharmonian agama dan sosial, kata Shanmugam

Kugiran Watain semasa melakukan persembahan. (Gambar: Watain/Facebook)

Diterbitkan : 07 Mar 2019 11:54PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 11:58PM

SINGAPURA: Membenarkan kumpulan muzik 'black metal' dari Sweden, Watain, untuk mengadakan konsert di Singapura akan melanggar "kepentingan ketenteraman awam serta menjejas keharmonian agama dan sosial kita," kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (7 Mac).

Pada Khamis (7 Mac), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengumumkan bahawa ia membatalkan konsert itu, yang dijadual diadakan pada petang Khamis. Langkah itu diambil atas nasihat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

IMDA pada awalnya membenarkan konsert itu diadakan dengan mengenakan rating R18.

"Sebelum ini, keizinan diberikan dengan syarat-syarat ketat dikenakan, yang menetapkan bahawa kugiran itu tidak boleh mempersembahkan lagu-lagu yang menyinggung perasaan. Jumlah penonton juga dihadkan kepada hanya sekitar 200, serta beberapa lagi syarat," kata Encik Shanmugam.

"Namun ramai yang melahirkan keprihatinan sejak beberapa hari lalu. Jika anda melihat kugiran itu, ia mempunyai sejarah di mana ia menghina penganut Kristian dan Yahudi, serta menyokong keganasan termasuk menggalak perbuatan membakar gereja.

"Mereka juga pernah mengatakan bahawa mereka menggalak sebarang perbuatan pengganasan yang dilakukan atas nama kugiran itu, dan pelbagai kenyataan lain yang kurang baik," tambahnya.

Encik Shanmugam juga berkata pendekatan am yang diambil oleh Pemerintah terhadap acara muzik melibatkan sama ada persembahan itu dianggap menghina.

Pada awal minggu ini, seorang individu yang dikenali sebagai Rachel Chan memulakan satu petisyen online bagi menggesa agar Watain, serta satu lagi kugiran dari Sweden, Soilwork, dilarang membuat persembahan di sini. Konsert Soilwork dijadual berlangsung di Singapura pada Oktober.

"Mesej-mesej terselindung dalam lagu-lagu mereka termasuk mengenai kematian dan bunuh diri," kata Cik Chan dalam petisyen itu.

Ditanya mengenai sama ada petisyen itu, yang sudah menarik lebih 16,000 tandatangan setakat tengah hari Khamis (7 Mac), mempengaruhi keputusan MHA, Encik Shanmugam berkata: "Petisyen itu tidak mempengaruhi keputusan tersebut. Seperti yang saya katakan, ia berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh kementerian itu, di samping penilaian terhadap keselamatan dan ketenteraman awam."

Encik Shanmugam juga berkata tindakan tidak akan diambil terhadap penganjur konsert kerana mereka "tidak melakukan sebarang kesalahan".

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan