Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melangkah ke 2021: Luahan harapan dari para peniaga, pemimpin masyarakat Melayu

2020 merupakan tahun yang paling mencabar bukan sahaja bagi rakyat Singapura, tetapi juga bagi seluruh dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 2020 merupakan tahun yang paling mencabar bukan sahaja bagi rakyat Singapura, tetapi juga bagi seluruh dunia.

Kesan COVID-19 amat mendalam sekali - ramai rakyat Singapura kehilangan pekerjaan dan para peniaga pula mendapati pendapatan mereka terjejas.

Lantas, tidak hairanlah para peniaga dan pemimpin masyarakat Melayu Singapura mengharapkan prospek lebih cerah pada Tahun Baru 2021 ini.

PERNIAGAAN MEROSOT TANPA PELANCONG

Antara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ini adalah agensi-agensi pelancongan serta para peniaga baju dan kain. Kebanyakan daripada mereka bergantung kepada pelancong.

Bagi agensi-agensi pelancongan, pakej-pakej mereka terhenti sama sekali.

"Perniagaan buat 2020 ini amat sukar bagi agensi-agensi pelancongan seperti kami. Banyak yang tutup dan bagi kami pula, kami cuma membuka seminggu sekali buat kerja-kerja pentadbiran," ujar Cik Alimah Isnail, Perunding Pelancongan Hamidah Travel & Tours.

Bukan ketiadaan pelancong sahaja menjadi penyebab perniagaan terjejas.

Menurut pemilik kedai baju Mona J, Cik Mona Ali, perniagaannya sudahpun terjejas teruk pada lima bulan pertama tahun lalu kerana kehilangan 'musim kemuncak' penjualan.

"Daripada awal Januari hingga Mei, perniagaan memang terjejas teruk kerana tidak dapat jual di bulan Ramadan," ujar beliau.

HARAPAN PARA PENIAGA

Dengan latar belakang sebegitu, harapan para peniaga Singapura umumnya jelas sekali - mereka mahu keadaan pulih semula agar perniagaan dapat meningkat kembali.

"Harapan untuk 2021 ini, mudah-mudahan keadaan akan pulih seperti biasa dan ramai pelanggan boleh datang ke Singapura lagi," kata Cik Fatimah Raj Mohamed, penjual kain Suria Fabrics.

Cik Mona Ali juga berharapan sedemikian.

"Mudah-mudahan 2021 lebih baik daripada 2020 kerana 2020 meninggalkan kita kesan yang sangat mendalam," kata beliau.

Cik Alimah juga tidak putus harapan dan sempat beri kata-kata perangsang buat rakan-rakan seperjuangannya yang turut terjejas akibat COVID-19 ini.

"Kita harapkan 2021 akan lebih baik untuk semua orang, terutama sekali agensi-agensi pelancongan - teman-teman kita yang banyak terjejas," ucap beliau.

HARAPAN PEMIMPIN MASYARAKAT MELAYU

Dalam ucapan tahun barunya secara eksklusif kepada BERITAmediacorp, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman, menyentuh tentang cabaran yang dihadapi Singapura akibat COVID-19.

Beliau juga sempat memberi kata-kata pujian kepada rakyat Singapura di atas semangat dan usaha mereka mengatasi pandemik ini.

"Apa yang menyerlah ialah kesungguhan, ketabahan serta daya tahan kita sebagai satu negara mengatasi krisis getir ini," kata Dr Maliki.

"Semoga 2021 membawa harapan baru dengan keyakinan untuk kita mengawal COVID-19 dan membangkitkan ekonomi kita demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat Singapura. Selamat tahun baru 2021 kepada semua," kata beliau lagi.

Bagi pemimpin badan bantu diri, AMP, Cik Zarina Yusof, beliau berharap tahun 2021 ini memberi sinar harapan kepada golongan pekerja.

Ini memandangkan bahawa antara 'mangsa' daripada COVID-19 ialah pemberhentian kerja, kehilangan pekerjaan dan ketiadaan pekerjaan.

"Saya berharap bahawa masyarakat Melayu dan rakyat Singapura akan dapat terus kekal relevan dalam industri pekerjaan masing-masing dan saya berharap bahawa bantuan akan terus diberikan supaya tiada sesiapa yang ketinggalan," ujar Cik Zarina Yusof, Pemangku Pengarah Eksekutif AMP kepada BERITAmediacorp.

Cik Hazlina Abdul Halim, selaku presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), pula melafazkan komitmen untuk terus memperjuangkan dan menyokong wanita di negara ini.

"(Tahun) 2021 PPIS akan terus mempergiatkan usaha kami untuk menyokong wanita mengecapi aspirasi mereka dan kami berharap anda dapat menyertai kami dalam usaha ini," ujar beliau.

“Semoga 2021 membangkitkan semangat kita semua untuk terus gigih berusaha supaya dapat bangkit dan maju bersama."

Bagi badan-badan Melayu yang berpaksikan khidmat-khidmat kebajikan dan khidmat masyarakat seperti Persatuan Muhammadiyah, Presidennya Ustaz Azri Azman melahirkan rasa syukur bahawa masyarakat Melayu masih mampu mengharungi tahun 2020 yang sangat mencabar.

"Semoga dengan kehadiran tahun 2021, kita dapat tingkatkan ilmu pengetahuan kita dan memperbanyakkan amal soleh kita dan juga memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan juga negara," ucap beliau.

BAGAIMANA UNTUK KEKAL RELEVAN?

Isu mengenai cara-cara untuk terus kekal relevan mungkin sesuatu yang selalu kita dengarkan pada tahun 2020. Sentimen begitu juga disuarakan golongan peniaga.

Ada yang akur peri pentingnya mempelbagaikan perniagaan mereka agar tidak ketinggalan dalam tahun ini.

Ini termasuk mencari bahan baru untuk dijual serta mempergunakan wadah-wadah online bagi mengekalkan sumber pendapatan.

"Kita harus pandai pelbagaikan perniagaan kita dan cari jalan keluar bagaimana ingin meraih pendapatan," kata Cik Mona Ali, pemilik Mona J, yang kini berjinak-jinak menjual pelitup muka dan penyambung pelitup muka, atau 'mask extender'.

Cik Fatimah Raj berpendapat bahawa bagi barang-barang yang sukar dijual di kedai, para peniaga boleh cuba menjualnya di wadah online seperti Facebook dan Instagram.

Malah perniagaan seperti agensi pelancongan juga harus cuba menceburi perniagaan lain untuk memperbagaikan lagi perniagaan mereka agar tidak terlalu bergantung kepada khidmat pelancongan sahaja yang kini terjejas teruk, kata Cik Alimah Isnail.

Yang pasti, dalam melangkah ke tahun 2021 para peniaga ini menunjukkan keterbukaan mereka untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperbaiki kemahiran yang sudah ada untuk kekal relevan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan