Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melancong atau tidak selepas COVID-19?

 Lebih 40 peratus orang di Singapura akan kurangkan kekerapan mereka bercuti meskipun selepas pandemik COVID-19 berakhir, menurut satu tinjauan oleh Inmarsat Aviation yang berpangkalan di London.

Anggaran Waktu Membaca:
Melancong atau tidak selepas COVID-19?

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 11 Nov 2020 12:17AM Dikemas Kini : 11 Nov 2020 12:19AM

SINGAPURA: Lebih 40 peratus orang di Singapura akan kurangkan kekerapan mereka bercuti meskipun selepas pandemik COVID-19 berakhir, menurut satu tinjauan oleh Inmarsat Aviation yang berpangkalan di London.

Tinjauan ke atas 500 orang di Singapura itu, mendapati bahawa 43 peratus responden di sini berkata mereka akan kurang melakukan perjalanan udara, manakala 47 peratus berkata mereka akan kurang melancong dengan apa jua jenis pengangkutan sekalipun.

Mereka yang ditinjau di negara-negara lain lebih pesimistik, dengan 58 peratus di India dan 55 peratus di Korea Selatan berkata mereka akan kurang melakukan perjalanan dengan apa jua jenis pengangkutan.

Penerbangan komersil terjejas teruk tahun ini akibat dibadai pandemik COVID-19, dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), menganggarkan kemerosotan 66 peratus dalam trafik udara berbanding tahun lalu.

Tinjauan yang menjejak keyakinan penumpang itu dibiayai syarikat perhubungan satelit Inmarsat dan dijalankan oleh firma runding cara pengurusan Yonder. Ia meninjau hampir 10,000 orang di 12 negara termasuk Brazil, Finland, India, Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta Amerika Syarikat.

Para responden ditanya sebanyak 18 soalan termasuk sama ada mereka telah menaiki sebarang pesawat sejak pandemik melanda negara mereka; sama ada mereka menganggap tempat-tempat seperti restoran atau pengangkutan awam lebih atau kurang berisiko berbanding menaiki pesawat; dan sejauh mana mereka berpuas hati dengan tindak balas syarikat penerbangan terhadap COVID-19.

"Penumpang hari ini lebih arif mengenai cara berbeza sesuatu virus - COVID-19 atau pun tidak - boleh menular. Selain itu, disebabkan pandemik ini menjejas seluruh dunia, ia juga menunjukkan tahap persediaan setiap negara dalam menghadapi cabaran kesihatan awam," menurut naib presiden Asia Pacific Inmarsat Aviation, Encik David Colley.

"Dengan pengetahuan ini, tidak hairan jika penumpang akan terus berhati-hati apabila ingin melancong, meskipun COVID-19 sudah dihapuskan sepenuhnya. Mereka akan mengurangkan perjalanan pada peringkat awal pemulihan."

Tinjauan itu mendapati bahawa penduduk Singapura lebih takut dijangkiti virus korona ketika berada di luar negara berbanding penduduk di wilayah lain, dengan 70 peratus responden di sini memberikan alasan tersebut sebagai sebab tidak melakukan perjalanan ke luar negara sekarang.

Kebimbangan lain termasuk harus dikuarantin, yang mana 72 peratus responden Singapura menyebutnya sebagai satu kebimbangan besar.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan