Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp, SPH saran strategi periksa fakta bagi banteras berita palsu

Kedua-dua pertubuhan media tempatan mengusulkan pemeriksaan fakta sebagai langkah balas bagi membanteras penyebaran berita palsu online.

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp, SPH saran strategi periksa fakta bagi banteras berita palsu

Dari kiri, Jaime Ho, Walter Fernandez dari Mediacorp; Mohamed Sa'at bin Abdul Rahman dari Berita Harian, Warren Fernandez dari The Straits Times dan Goh Sin Teck dari Lianhe Zaobao dan Lianhe Wanbao.

Diterbitkan : 23 Mar 2018 04:30PM Dikemas Kini : 23 Mar 2018 04:37PM

SINGAPURA: Kedua-dua pertubuhan media tempatan mengusulkan pemeriksaan fakta sebagai langkah balas bagi membanteras penyebaran berita palsu online di sesi perbincangan awam Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Disengajakan pada Jumaat (23 Mac).

Dalam keterangan bertulis kepada panel khas parlimen, para editor kanan dari Mediacorp menyarankan penubuhan sebuah 'majlis' pemeriksa fakta yang bebas dan telus atau sebuah jawatankuasa yang berupaya mengenal pasti, menilai dan bertindak dengan pantas terhadap berita palsu.

Bergantung kepada skala kepalsuan dan platform kepalsuan itu disebarkan, majlis tersebut boleh menyarankan tindakan yang sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan yang sesuai.

Ini termasuk menurunkan sebarang catatan, membuat pembetulan serta meminta dan mengarahkan sesebuah platform untuk memberikan penjelasan dan meningkatkan pendidikan awam yang disasarkan terhadap kepalsuan online tertentu.

"Majlis itu harus dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada Parlimen," menurut para editor kanan Mediacorp. "Sebagai wadah kepercayaan awam, kerja yang dijalankan, dapatan dan saranan majlis tersebut juga mesti bersifat terbuka dari segi penelitian awam."

Singapore Press Holdings (SPH) yang menerbitkan akhbar seperti The Straits Times, turut menyokong pandangan tersebut sambil menyarankan 'perikatan pemeriksaan fakta sepenuh masa'.

Sungguhpun demikian, kedua-dua syarikat mempunyai pandangan yang berbeza dari segi bentuk majlis pemeriksaan fakta yang diusulkan. Menurut SPH, ia seharusnya terdiri daripada pemain media dan pengamal industri serta para wakil daripada agensi pemerintah dan entiti komersil.

"SPH bersikap terbuka untuk menyertai perikatan sedemikian, dan/atau bekerjasama dengan pertubuhan media lain untuk membentuk perikatan tersebut," tambah SPH.

Mediacorp pula berpendapat bahawa majlis tersebut seharusnya dianggotai oleh ahli akademik, pertubuhan bukan pemerintah, persatuan sivil, masyarakat guaman dan kumpulan sosial yang lain.

"Adalah disarankan agar badan yang ditubuhkan ini tidak merangkumi wakil media aliran umum," menurut para editor Mediacorp. "Adalah penting semasa menjalankan tugas, badan pemeriksa fakta ini mesti melakukannya secara bebas agar dapat menilai berita dan maklumat, termasuk yang diterbitkan oleh media aliran umum.

APA SEBENARNYA BERITA PALSU?

Mediacorp dan SPH menyarankan sekurang-kurangnya tiga kriteria minimum untuk diambil kira oleh pihak berkuasa semasa menilai kepalsuan online.

Dalam pandangan Mediacorp, kandungannya mesti dibuktikan sebagai palsu, atau dipercayai palsu dan bukan berdasarkan fakta. Ia juga disebarkan secara online melalui laman web, blog, catatan media sosial, kiriman teks dan platform bercorak seketika seperti Snapchat. Kandungannya juga mesti diwujudkan dan disebarkan dengan sengaja berbanding kesilapan yang tidak disengajakan.

Berita palsu juga mempunyai niat untuk mencapai beberapa matlamat: mempengaruhi proses demokratik, menggugat keselamatan negara, menjejas sistem kehakiman, mengancam keharmonian kaum dan agama atau mempengaruhi hasil ekonomi atau kewangan.

Mediacorp turut menyarankan kriteria bagi menentukan jangkauan dan kekerapan untuk menentukan apa itu kepalsuan online dan bagaimana untuk menanganinya.

MUTU KEWARTAWANAN PENTING

Kedua-dua Mediacorp dan SPH turut menggariskan peranan yang boleh dimainkan oleh kedua-dua pihak dalam membanteras berita palsu. Menurut Mediacorp, ia mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan 'secara meluas dan sewajarnya' kepalsuan online yang dikenal pasti oleh badan pemeriksa fakta yang diusulkan itu.

"Laporan sedemikian oleh media aliran umum mungkin (walaupun setelah berjaya membuktikannya sebagai berita palsu) akan menambah tumpuan terhadap berita tersebut. Meskipun tidak dapat dielakkan, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan," menurut Mediacorp.

Peranan kedua yang lebih bersifat 'jangka panjang' ialah untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap bahaya kepalsuan online.

"Mediacorp akan terus menjadi sumber berita yang tepat, berwibawa dan diyakini," kata para editor Mediacorp. "Keupayaan dan bilik berota mesti terus dipertingkat bagi menangani masalah ini melalui kewartawanan yang bermutu tinggi dan pemeriksaan fakta serta liputan berita yang meluas dan terperinci."

Mediacorp juga berharap ia dapat bekerjasama dengan entiti media sosial dan enjin-enjin pencarian.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan