Images
  • funival
    (Gambar: Warna 94.2FM/Facebook)

Mediacorp Funival berjaya pikat lebih 5,000 orang amal gaya hidup sihat

SINGAPURA: Satu acara karnival keluarga anjuran Mediacorp dan disokong Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), menarik lebih 5,000 pengunjung.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin turut singgah di acara di Hab Sukan Singapura itu untuk berkongsi mesej pentingnya membuat pilihan bijak dalam menjaga kesihatan diri.

"Ini satu usaha yang bermakna kerana ia menumpukan usaha untuk mengajak masyarakat kita memahami tanggungjawab dalam sama-sama memastikan kita mengamalkan gaya hidup sihat," kata Encik Amrin.


Dianjurkan khas untuk masyarakat Melayu dan India, acara tersebut bagi menyokong azam tahun baru untuk memulakan 2019 dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih lebih sihat.

Menurut HPB, masyarakat Melayu dan India paling berisiko menghidapi penyakit kencing manis, yang mana kadarnya masing-masing adalah 17.2 peratus dan 16.6 peratus.

Pelbagai kegiatan interaktf diadakan - dari sesi senaman beramai-ramai seperti 'Zumba Bolly Workout' dan 'Korang Ok?', hingga ke demonstrasi memasak makanan etnik yang lebih sihat. Kegiatan-kegiatan yang diatur disesuaikan khusus bagi keperluan para peserta.

Kehadiran personaliti Mediacorp memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi cabaran dan panduan tentang bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Antara personaliti Mediacorp yang berkongsi tips termasuklah pengacara radio Warna 94.2FM, Mariam Mas'od dan penyanyi terkenal, Sufi Rashid.


"Satunya saya beritahu mereka, jangan malas, harus bergerak. Walaupun anda tak bersenam, tak pergi gim sebagainya, kalau di rumah itu dapat lakukan gerakan yang mudah, dapat berjalan yang mudah, 'briskwalking' pun lagi baik," kata Mariam.


"Saya sendiri ambil prihatin tentang kesihatan sejauh yang mungkin sebab saya rasa saya makin berusia, makin tua, makin perlukan tenaga yang lebih banyak jadi saya lakukan senaman. Selain daripada berlari-lari anak, saya juga berenang," kata Sufi.  

- BERITAmediacorp/aq

Top