Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mata Air Panas Sembawang akan dibangunkan jadi sebuah taman, 10 kali saiznya jelang 2019

Mata Air Panas Sembawang, akan dijadikan sebuah taman masyarakat seluas 1.1 hektar iaitu 10 kali saiznya sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Nov 2017 05:08PM Dikemas Kini : 25 Nov 2017 09:28PM

SINGAPURA: Mata Air Panas Sembawang, akan dijadikan sebuah taman masyarakat seluas 1.1 hektar iaitu 10 kali saiznya sekarang.

Kerja-kerja pembangunan bermula awal tahun depan dan dijangka siap menjelang 2019.

Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan ia akan mengekalkan ciri-ciri kampung di satu-satunya kawasan mata air panas di Singapura itu.

Kemudahan yang terletak tidak jauh dari Gambas Avenue, itu kini berukuran 0.1 hektar.

NParks mendedahkan rancangannya itu dalam satu pameran awam hari ini (25 Nov). Antara pelan tambahan lain termasuk sebuah tempat untuk merendam kaki, tempat duduk terlindung, 'floral walk' atau laluan pejalan kaki untuk menikmati tanaman bunga di taman serta sebuah kafe.

Tanam-tanaman yang boleh dimakan seperti halia, rambutan dan chiku akan ditanam di sepanjang laluan 'floral walk' bagi membangkitkan nostalgia dan memori kehidupan masa lampau di Singapura.

Ia juga untuk mengekalkan suasana sekitar mata air panas tersebut.

"Kebanyakan penduduk dari Sembawang dan Yishun pernah tinggal di kampung sekitar mata air ini. Mereka tahu bagaimana suasana pada ketika itu dan mereka juga mengenang masa lalu," kata Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung yang melawat pameran itu hari ini (25 Nov).

"Mereka tahu di Singapura, pembangunan pesat boleh wujud seiringan dengan suasana kampung. Saya fikir ini adalah tempat yang baik untuk menunjukkannya."

Selain Encik Ong, turut melawat pameran ini Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Encik Khaw antara yang pertama untuk memberi saranannya bagi pembangunan itu.

"Biarkan ayam-ayam itu masuk!" tulisnya pada kertas nota yang ditampal di papan yang dipasang untuk mengumpul maklum balas orang ramai.

Rombongan Encik Ong dan Encik Khaw juga termasuk Anggota Parlimen dari GRC Nee Soon dan Sembawang, seperti Encik Muhammad Faishal Ibrahim, Dr Lee Bee Wah, Encik Amrin Amin dan Encik Vikram Nai.

Mereka menanam pokok-pokok pertama di sepanjang laluan pejalan jalan, melawat pameran dan beramah mesra dengan pengguna di mata air panas berkenaan. Mereka juga mencuba telur rebus yang dimasak dalam air mata air panas tersebut serta merendam kaki mereka di kemudahan itu.

"Susah untuk menikmati tempat seperti ini di Singapura, dan kami bertekad untuk mengekalkan ciri-ciri desa serta semangat kampung di tempat ini," kata Encik Ong.

Pameran awam di Mata Air Panas Sembawang berlangsung sehingga 3 Disember, dan orang ramai dialu-alukan untuk memberi maklum balas mereka mengenai taman yang bakal dibangunkan.

Orang ramai juga boleh memberi saranan dan berkongsi idea mereka sehingga 10 Disember di laman www.nparks.gov.sg/sembawanghotspring. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan