Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat sama-sama bertanggungjawab perdalam kefahaman silang agama

Usaha memperdalam kefahaman silang agama bukan terletak di bahu para pemimpin sahaja, masyarakat juga memainkan peranan penting menjadi penggerak keharmonian agama, kata ketua SRP NTU merangkap Presiden MUIS Alami Musa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha memperdalam kefahaman silang agama bukan terletak di bahu para pemimpin sahaja, masyarakat juga memainkan peranan penting menjadi penggerak keharmonian agama.

Ketua Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) NTU, Encik Alami Musa menekankan demikian menjelang Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS), yang dianjurkan buat pertama kalinya pada Rabu (19 Jun).

CETEKNYA PENGETAHUAN

Agama dipolitikkan, serta trend global yang tidak menekankan toleransi kaum dan agama.

Semua trend itu jelas merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian.

Di Singapura sendiri, gerakan silang agama bagi menjalin hubungan keharmonian, terkadang juga dipersoalkan.

Persoalannya, semakin masyarakat menjadi maju hari ini, apakah faktor-faktor yang menyebabkan konflik atas nama 'agama' atau 'kaum' semakin berleluasa?

Dari kiri ke kanan - CEO MUIS Esa Masood; Presiden Muis Mohammad Alami Musa; Pengurus Masjid Sultan Mohamed Patail, Menteri Masagos Zulkifli; Encik Mohamed Abdullah Alhabshee dan Mufti Mohamed Fatris Bakaram bersalam-salaman dengan para jemaah selepas solat Aidilfitri. (Gambar: MUIS)

Encik Alami Musa (dua dari kiri) bersalaman dengan para jemaah (Gambar: MUIS)

Encik Alami Musa yang juga merupakan Presiden MUIS berpendapat ini berlaku dek ceteknya pengetahuan tentang tradisi, konteks dan sejarah.

"Saya kira ini adalah menunjukkan dari segi ilmu dan pengetahuan agak masih lagi harus dipertingkatkan, dan saya kira oleh kerana saya kira mereka tidak sedar atau tidak tahu maka terjadilah sentimen-sentimen yang negatif ini," tekan beliau.

USAHA SILANG AGAMA BERLANGSUNG KURUN LAMANYA

Walhal menurut Encik Alami, usaha hubungan silang agama sudah terjalin sejak zaman jauh sebelum ketamadunan Islam.

Misalnya bagaimana para pemikir Islam dahulu kala sudah menjadi peran contoh dalam menjalin hubungan silang agama.

"Para pemikir Islam klasik menunjukkan bahawa agama Islam itu terbuka untuk berinteraksi dengan agama-agama lain, malah di tempat-tempat ibadah mereka, tidak menjadi satu dosa atau kesalahan, asalkan kita tetap dengan identiti, pegangan dan akidah kita, mengapa tidak? Kalau ada sentimen negatif, ia menunjukkan kelemahan kita sebagai umat Islam, mengapa begitu?" tegas beliau lagi.

Malah, menurut Encik Alami lagi dari zaman Rasulullah saw, jelas menunjukkan hubungan yang terjalin antara Muslim dan penganut agama lain seperti golongan Yahudi dan Nasrani.

ICCS DIANJURKAN BAGI BINCANG ISU SILANG AGAMA

Bergerak daripada kepentingan itulah Singapura menganjurkan Persidangan ICCS; mengumpulkan 700 wakil antarabangsa.

Ia dianjurkan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

"Persidangan antarabangsa ini akan mengumpulkan pakar akademik, sosial, agama, dan juga masyarakat untuk duduk berbincang tentang apakah masalah-masalah yang dihadapi agama masa ini, bagaimana untuk menghuraikan masalah-masalah itu demi menguatkan hubungan silang agama di Singapura ini.

Meskipun pendekatannya seringkali bersifat formal dan 'top down', Encik Alami berkata sudah tiba masanya usaha sebegitu dipimpin oleh anggota masyarakat sendiri di peringkat akar umbi atau individu.

Habib Hassan bersama Venerable Master Hsin Tao. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Masjid Ba'alwie terima kunjungan dari tokoh Buddha antarabangsa baru-baru ini (Gambar: BERITAmediacorp)

"Tetapi pada dunia hari ini tidak boleh begitu, oleh kerana dengan adanya internet dan media sosial, makanya hubungan silang agama itu telah disosialisasikan," kata Encik Alami. "Usaha-usaha atau rancangan silang agama yang dimulakan oleh individu atau kumpulan di peringkat akar umbi dan kita lihat kumpulan-kumpulan dari bawah ke atas.

Hanya dengan pemahaman yang utuh di peringkat masyarakat, tekan Encik Alami, konflik antara agama dapat dielakkan.

Persidangan antarabangsa pertama di Singapura mengenai perpaduan sosial dan keharmonian silang agama itu berlangsung dari 19-21 Jun di Pusat Konvensyen Raffles City.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan