Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat S'pura boleh pecah belah gara-gara berita palsu. Mungkin sudah berlaku, kata pakar

Berita palsu terancang dan kempen maklumat palsu mungkin sudahpun mempengaruhi dan menjejas masyarakat Singapura, kata pakar keselamatan negara Shashi Jayakumar dalam keterangan bertulis dan lisan beliau kepada Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan hari ini (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Mar 2018 06:39PM Dikemas Kini : 15 Mar 2018 11:03PM

SINGAPURA: Berita palsu terancang dan kempen maklumat palsu mungkin sudahpun mempengaruhi dan menjejas masyarakat Singapura, kata pakar keselamatan negara Shashi Jayakumar dalam keterangan bertulis dan lisan beliau kepada Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan hari ini (15 Mac).

Dr Jayakumar yang menerajui Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), dalam ucapannya pada hari kedua perbincangan awam itu berkata: "Saya tidak mahu menyebarkan atau memburuk-burukkan lagi keadaan, tetapi pada pandangan saya, ia adalah satu kesilapan untuk menganggap bahawa perkara ini masih belum berlaku di Singapura.

Dalam keterangan bertulisnya, beliau turut menerangkan bagaimana para pelaku boleh menggunakan teknik dan taktik seperti yang digunakan Rusia yang dipercayai memanipulasikan pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2016.

"Menyebarkan khabar angin untuk mencemarkan nama baik ahli politik (dan dengan menguar-uarkan tema-tema tertentu seperti gambaran negatif tentang dasar imigrasi) yang disasarkan untuk merosakkan kepercayaan orang awam terhadap demokrasi dan mempengaruhi penduduk secara sistematik supaya mereka kurang yakin terhadap berita arus perdana dan yang sudah sekian lama diyakini, " kata Dr Jayakumar yang turut menyelaraskan program Isu Masa Hadapan dan Teknologi di RSIS.

"Sesetengah penyelidik percaya bahawa mereka sudah menjumpai laman-laman Facebook palsu yang hampir kesemua anggotanya adalah robot.

Beliau menambah: "Wujud 'penasihat' individu dan entiti sektor privet yang pakar dalam meggodam dan mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan tujuan untuk mendapatkan keputusan yang diingini. Kaedah mereka termasuk mencemari kewibawaan, menggodam, memalsukan laman web dan mengirim emel secara besar-besaran untuk mempengaruhi keputusannya.

ANCAMAN SERANTAU?

Semasa perbincangan awam itu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam membawa isu itu lebih dekat dengan rakyat Singapura apabila beliau berkata kepada Dr Jayakumar: "Anda menyebut tentang warga Rusia tetapi saya berpendapat bahawa kepakaran ini juga mungkin boleh dikesan di negara-negara yang lebih kecil."

Dalam usulan bertulisnya, beliau menerangkan bahawa "agensi-agensi pakar runding yang berdasarkan maklumat (di mana kaedah yang digunakan boleh melibatkan maklumat palsu) kelihatan seolah-olah sudahpun didampingi oleh parti politik serta calon individu bagi pilihan raya umum Malaysia yang bakal diadakan kelak".

"Kaedah dan peralatannya sudahpun tersedia," katanya sambil menarik perhatian kepada berita palsu Saracen di Indonesia yang dikatakan memainkan peranan besar dalam menjatuhkan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan kini sedang berusaha untuk merosakkan nama baik ahli politik berprofil tinggi termasuk Presiden Joko Widodo.

"Sejauh ini, ia terbatas kepada mekanisme politik tempatan Indonesia saja. Namun, peralatan dan strateginya dengan hanya satu atau dua ubah suai saja sudah cukup untuk menyebabkan Singapura terkait sama sekiranya berlaku ketegangan."

APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN SINGAPURA?

Dr Jayakumar kemudian menyarankan gabungan langkah-langkah bukan perundangan yang baru dan lama, bermula dengan perlunya untuk mengukuhkan "keyakinan antara rakyat dengan pemerintah."

Dr Jayakumar menyarankan penubuhan sebuah badan "yang tidak semestinya berkaitan dengan pemerintah", tetapi memanfaatkan penyertaan akar umbi untuk menjalankan kajian dan inisiatif bagi memeriksa kesahihan, menyatukan pelbagai pakar di bawah badan tersebut, menghasilkan kandungan televisyen, surat khabar dan media sosial; dan menyediakan latihan kepada karyawan media dan pihak-pihak lain yang relevan.

Beliau juga mengusulkan penubuhan Pusat Kecemerlangan yang serupa dengan sebuah kemudahan NATO di Latvia bagi ancaman hibrid.

Beliau juga meminta Kementerian Pendidikan supaya melakukan lebih banyak lagi bagi mendidik para pelajar di sekolah-sekolah mengenai bagaimana untuk mengenal pasti berita palsu sambil menarik perhatian bahawa terdapat gesaan di peringkat global bagi kemahiran sedemikian diuji dalam peperiksaan.

PERLU DIADAKAN PERBINCANGAN PERINGKAT NASIONAL 

Dalam menggulung ucapan masing-masing, Dr Jayakumar dan Encik Shanmugam sama-sama menekankan tentang perlunya "campur tangan dunia nyata" dan "tindakan agensi yang lebih aktif".

"Penawarnya adalah ... dengan memerika kesahihan ... kebenaran saja belum cukup untuk meyakinkan ramai orang yang hanya mahu percaya sesuatu perkara saja," menurut pengamatan beliau. "Kedua, saya rasa anda memerlukan pendidikan awam yang meluas dan ini akan memakan masa."

"Ketiga, membina hubungan yang lebih aktif dalam masyarakat. Ini adalah dalam bentuk perbincangan di mana orang ramai merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara ini, merasakan diri mereka dihargai dan ingin melakukan sesuatu untuk negara ini dan diri mereka sendiri, dengan saling bersatu padu dan meraih manfaat secara bersama dan inilah semangat yang perlu dipupuk." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan