Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam sanjung bakti Dr Yaacob selama 16 tahun

Satu majlis menghargai sumbangan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim kepada masyarakat Melayu/Islam diadakan hari ini (2 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 May 2018 09:13PM Dikemas Kini : 02 May 2018 11:29PM

BERITAMediacorp: Satu majlis menghargai sumbangan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim kepada masyarakat Melayu/Islam diadakan hari ini (2 Mei).

Majlis di Hotel Grand Hyatt itu disertai sekitar 20 pertubuhan Melayu/Islam (MMO) termasuk juga Anggota Parlimen Melayu/Islam, para relawan dan kakitangan.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki Rahayu Buang selaku tuan rumah bersama badan-badan Melayu-Islam yang menganjurkan acara itu
menyingkap pelbagai sumbangan Dr Yaacob kepada masyarakat selama 16 tahun menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Ini termasuk dari segi kecemerlangan pendidikan, mengukuhkan institusi keluarga, memacu revolusi teknologi dan membina institusi Melayu/Islam yang kukuh.

Antara pencapaian beliau yang disebut termasuk mengubah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) sebanyak tiga kali bagi memastikan ia terus kekal relevan, menubuhkan Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) bagi menggembleng usaha bersama MMO setempat untuk menangani masalah sosial dalam masyarakat dan menubuhkan Jabatan Transformasi Digital di Mendaki bagi membantu MMO memanfaatkan penggunaan teknologi dalam operasinya.

Bagi para pemimpin Melayu/Islam yang bekerjasama rapat dengan Dr Yaacob, mereka amat terkesan dengan sifat ihsan dan prihatin beliau dalam membantu masyarakat.

"Saya rasa sesuatu yang menimbulkan kesan pada diri saya adalah tentang sifatnya yang memang prihatin dan menunjuk ihsan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan dan masyarakat yang memerlukan. Jadi memang ini satu nilai yang dia selalu ingatkan dan terapkan di dalam Mendaki bahawa kita mesti menolong mereka yang memerlukan pertolongan," kata Cik Rahayu.

"Kami amat berterima kasih dan tidak akan lupa jasa-jasa baik Dr Yaacob Ibrahim dalam membantu Muhammadiyah menangani masalah-masalah yang kita hadapi seperti apabila kita hendak membeli bangunan nak mendirikan bangunan baru, beliau banyak membantu Muhammadiyah sehingga terlaksana apa yang kita cita-citakan," kata Presiden Muhammadiyah Shaik Hussain Shaik Yacob pula.

"Saya kira banyak perubahan-perubahan yang telah berlaku dalam sistem pendidikan madrasah dan pihak MUIS khususnya jabatan pelajarannya telah memainkan peranan yang penting dan banyak bantuan dari segi kewangan dan latihan guru dan juga peluang-peluang untuk meningkatkan diri bukan sahaja dalam bidang ukhrawi tapi juga bidang duniawi," tambah Encik Mohd Ma'imun Suheimi dari Madrasah Al Ma'arif Al Islamiah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan