Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam perlu bina 4 ciri ini untuk 'terbang lebih tinggi dan jauh' - Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, membentangkan empat ciri yang perlu dibina masyarakat Melayu/Islam tempatan, demi membolehkan mereka untuk "terbang" lebih tinggi dan jauh lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Melayu/Islam perlu bina 4 ciri ini untuk 'terbang lebih tinggi dan jauh' - Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, membentangkan empat ciri yang perlu dibina masyarakat Melayu/Islam tempatan, demi membolehkan mereka untuk "terbang" lebih tinggi dan jauh lagi.

Empat ciri yang beliau sebutkan adalah:

  • Pertama, memupuk keluarga yang kukuh dan berdaya bingkas;
  • Kedua, menjadikan pembelajaran sepanjang hayat satu cara hidup bagi masyarakat Melayu/Islam
  • Ketiga, menjadi warga yan gaktif menyumbang kepada masyarakat dan negara
  • Keempat, mempunyai ciri-ciri masyarakat yang penyayang dan bersatu padu.

"PERJALANAN KITA MASIH JAUH", ASAS-ASAS MASYARAKAT PERLU DIPERKUKUH

Buah fikiran tersebut dibentangkan dalam ucapan sulung Encik Masagos di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri hari ini (28 Jun), sebagai Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam. Majlis itu dihadiri sekitar 400 tetamu termasuk para pemimpin Melayu/Islam tempatan, diplomat dan karyawan dari pelbagai latar belakang.

Encik Masagos berinteraksi dengan belia-belia di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri. (Gambar: MUIS)

Encik Masagos berinteraksi dengan belia-belia di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri. (Gambar: MUIS)

Majlis tahunan itu lazimnya dianggap sebagai antara wadah untuk Menteri Ehwal Masyarakat Islam membentangkan idea dan dasar bagi masyarakat Melayu/Islam, selain menyentuh tentang pencapaian dan cabarannya.

Menggunakan perumpamaan sebuah pesawat, Encik Masagos berkata masyarakat boleh 'terbang tinggi dan jauh' jika mereka 'dilentur' dengan baik.

Ini sebagai merujuk kepada sayap pesawat yang apabila dilentur menggunakan reka bentuk 'aerofoil', akan dapat mendorong kuasa tujah atau istilah Inggerisnya, 'thrust', yang membolehkan sesebuah pesawat itu terbang.

Maka itu, bagi membina masyarakat Melayu yang mampu mencapai kejayaan pada tahap lebih tinggi, mereka perlu mempunyai 'ciri-ciri aerofoil' mereka sendiri, iaitu empat ciri yang beliau sebutkan itu.

Semua itu merupakan asas-asas masyarakat Melayu/Islam yang perlu diperkukuhkan, yang menurut Encik Masagos akan membolehkan mereka "terbang sama tinggi dengan rakan-rakan kita yang lain di Singapura mahupun di persada dunia."

Ini kerana meskipun masyarakat sudah mencapai kemajuan yang baik, beliau juga akui "perjalanan kita masih jauh."

MASYARAKAT MELAYU PERLUKAN "MATLAMAT AKHIR YANG TEPAT"

Misalnya, Encik Masagos berkongsi bahawa hanya sekitar 40 peratus Melayu mempunyai pendidikan posmenengah atau selebihnya, berbanding 51 peratus masyarakat Cina dan 63 peratus masyarakat India.

Encik Masagos beramah mesra dengan para tetamu. (Gambar: BERITAMediacorp)

Encik Masagos beramah mesra dengan para tetamu. (Gambar: BERITAMediacorp)

"Kita perlu lakukan yang lebih baik. Dunia hari esok akan membawa bersamanya perubahan dan
gangguan. Banyak pekerjaan bakal pupus, tetapi banyak lagi pekerjaan baru akan wujud.

"Jika setiap daripada kita terus berbekalkan azam dan ketekunan yang telah mendorong kita buat sekian lama, saya yakin kita pasti dapat lakukan yang lebih baik lagi," tegas beliau.

Encik Masagos juga menekankan bahawa masyarakat Melayu harus mempunyai "matlamat akhir yang tepat" untuk menyembuhkan apa sahaja kepincangan yang ada.

Bentuk dan ciri masyarakatlah tegas beliau, yang akan menentukan sama ada masyarakat kita akan dapat "terbang tinggi" walaupun menghadapi cabaran.

CIRI 1: KELUARGA KUKUH BERI PERMULAAN BAIK

Mengulas lebih lanjut mengenai pembentukan ciri-ciri keluarga kukuh, beliau menekankan supaya pendekatan serta paradigma ketika membantu keluarga berisiko diubah.

Seringkali kata beliau, usaha masyarakat tertumpu kepada keluarga berisiko kerana mereka memiliki ciri-ciri yang "membimbangkan".

"Namun penting (menggunakan) pendekatan dan paradigma tidak menganggap mereka sebagai mangsa yang perlu diselamatkan, tetapi sebagai bakal pemimpin yang berpotensi iaitu "Not victims but potential leaders".

Para pemimpin Melayu Singapura di acara malam tadi. (Gambar: BERITAMediacorp)

Para pemimpin Melayu Singapura di acara malam tadi. (Gambar: BERITAMediacorp)

Sebab itulah kata beliau, perlu untuk golongan itu bukan setakat dibantu mengharungi cabaran seharian, tetapi mereka juga perlu dibantu membina dan mengembangkan aset-aset dalam keluarga. Ini tidak kiralah, walau sekecil manapun dan seharusnya seawal mungkin semasa mendirikan rumahtangga, kata Encik Masagos.

"Usaha ini memerlukan pendekatan yang sangat berbeza dari hanya memberikan sahaja apa yang mereka mahu demi kononnya menghormati kewibawaan mereka," tegas beliau.

CIRI 2: PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Keluarga yang kukuh kata Encik Masagos, sedar bahawa pendidikan adalah kunci untuk membina kedudukan mereka.

Bagi keluarga sebegini tambah beliau, masyarakat perlu membantu mereka untuk meningkatkan kemahiran dan menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat

"Bagi yang berpotensi besar, kita perlu memberikan bimbingan kerjaya atau mentorship melalui interaksi dengan golongan karyawan demi meluaskan rangkaian kenalan dan menggilap kemahiran mereka sekaligus mencetus peluang untuk mereka berkembang," saran Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

CIRI 3: JADI WARGA YANG AKTIF MENYUMBANG

Beliau menyeru kepada masyarakat Melayu/Islam supaya sama-sama menyingsing lengan dan turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan.

(Gambar: MUIS)

Anggota Melayu/Islam yang sudah mencapai kejayaan kata Encik Masagos, lebih-lebih lagi perlu menjadi warga yang "aktif menyumbang kepada masyarakat dan negara".

Masyarakat ujar beliau, menjadi kukuh apabila semua anggotanya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

CIRI 4: JADI MASYARAKAT PENYAYANG, BERSATU-PADU

Mengulas pula tentang peri perlunya masyarakat Melayu menjadi masyarakat penyayang dan bersatu padu, Encik Masagos menarik perhatian bahawa menghasilkan individu-individu yang hebat tidak mencukupi, jika tidak bersatu padu dalam masyarakat - "walaupun setiap mereka berhemah dan banyak membantu".

Beliau menukil pandangan ulama terkemuka Mesir, Imam Besar Al-Azhar, Syeikh Dr Ahmad Al Tayyeb Islam yang menyatakan bahawa Islam menganjurkan para penganutnya supaya berlaku adil dan baik terhadap semua orang, tanpa mengira Islam atau bukan Islam.

Encik Masagos malah berpandangan bahawa kewajipan tersebut lebih berat lagi jika menyentuh antara sesama masyarakat muslim sendiri.

"Perpaduan adalah ciri penting supaya masyarakat maju bersama. Tanpanya sifat ego, tidak puas-hati atau marah, kita akan menyerang sesama sendiri. Atau kita merasakan kita sahajalah yang benar dan mengajar anak didik kita supaya jangan bersama dengan orang yang tidak sependapat dengan kumpulan kita.

"Awaslah kepada hasutan dan desakan yang sebenarnya bertujuan memecah-belahkan kita kerana mahu kita rebah dan lemah,"ujar beliau lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan